Rabu, 13 Disember 2017

Chong Wei kena relaks - Misbun

ARKIB : 25/11/2008
CHONG Wei hanya perlu lebih relaks dalam pertemuan dengan Lin Dan bagi mengelakkan fokus pemain ini terjejas.


KUALA LUMPUR - Jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek mengakui, cabaran terbesarnya ketika ini adalah cuba meredakan tekanan yang dialami pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, laporNORZIE MOHD. KHASBI.
Pada ketika Chong Wei diakui belum dapat memenuhi pengharapan besar selaku pemain nombor satu dunia, kekalahan terbaru kepada bintang China, Lin Dan kelmarin dikhuatiri akan menjatuhkan lagi moral pemain itu.
Pada perlawanan akhir Terbuka China, Ahad lalu, Chong Wei memberi tentangan sengit kepada Lin Dan pada set pertama tetapi tunduk mudah di set kedua ketika tewas 18-21, 9-21.
Tegas Misbun, beliau tidak bimbang dengan keadaan fizikal Chong Wei tetapi lebih risau dengan faktor mental yang kerap menjejaskan fokus anak didiknya itu.
Justeru, Misbun menasihati naib juara Sukan Olimpik itu agar bermain dengan lebih relaks dan tenang jika mahu mencari keputusan terbaik pada Terbuka Hong Kong yang bermula hari ini.
"Tidak mudah untuk menggalas tanggungjawab nombor satu dunia, apatah lagi bila kedudukan itu diperoleh ketika anda baru mengalami kekalahan besar (final Sukan Olimpik).
"Mungkin ia lebih mudah buat pemain yang merangkul kejuaraan mendapat kedudukan itu, sekurang-kurangnya dia sudah ada gelaran dan telah membuktikan kemampuan.
"Chong Wei amat terdesak hendak menyeimbangkan kedudukan nombor satu dan gelaran. Dia mahu kejayaan dan status berjalan setara kerana padanya, tiada guna jadi nombor satu hanya pada ranking,'' kata Misbun ketika dihubungi di Shanghai, semalam.
Kata Misbun lagi, kerana terlalu memaksa diri untuk mencari kejuaraan pertama selepas tamat Olimpik, Chong Wei akhirnya memberi tekanan kepada diri sendiri, seterusnya membataskan pergerakan di atas gelanggang.
Justeru kata Misbun, adalah penting buatnya untuk sering mengingatkan pemain itu bahawa tumpuan sepatutnya diberi kepada permainan dan bukan faktor luaran lain, sambil menyeru peminat tanah air agar bersama memberi sokongan.
"Di Terbuka Hong Kong, kami ambil perlawanan satu demi satu dan jangan terlalu ghairah. Tetapi saya percaya, Chong Wei sedar sebagai antara pemain terbaik di dunia, tahapnya adalah di atas, jadi dia kena elak daripada tersingkir awal.
"Saya harap dia dapat masuk akhir. Kalau masuk final itu maknanya dia konsisten, dan yang paling penting mengekalkan ranking nombor satu hingga ke penghujung 2008,'' kata Misbun lagi.
Di Hong Kong, Chong Wei akan memulakan kempen dengan menentang pemain tidak ternama Jerman, Marc Zwiebler sebelum dijangka bertemu jaguh Thailand, Boonsak Posana.
Saingan suku akhir tidak terlalu berat tetapi jika layak ke separuh akhir, pemain nombor tiga dunia, Chen Jin, jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade dan bintang sedang meningkat China, Gong Weijie adalah lawan bakal menanti.
Cabaran perseorangan Malaysia pada kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM905,000) itu turut dipikul jaguh veteran, Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng, Sairul Amar Ayob dan Chong Wei Feng.SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz518qPf58Z 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lin Dan terlalu unggul - Misbun

ARKIB : 24/11/2008
KUALA LUMPUR - Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei gagal menebus kekalahan kepada Lin Dan selepas tunduk kepada bintang China itu dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka China di Shanghai, semalam.

Beraksi bersama status nombor satu dunia dan membawa hajat untuk menebus kekalahan final Sukan Olimpik Beijing, Chong Wei bagaimanapun akur dengan kekalahan 18-21, 9-21 dalam tempoh 39 minit.

Malah, harapan Malaysia untuk membawa sekurang-kurangnya satu gelaran dalam acara beregu wanita juga tidak kesampaian selepas Wong Pei Tty-Chin Eei Hui tunduk 14-21, 19-21 kepada beregu tuan rumah, Zhang Yawen-Zhao Tingting.

Semalam, Chong Wei memberi tentangan sengit pada set pertama, malah seketika mendahului Lin Dan sebelum tumpas 18-21.

Namun, siri kesilapan yang dilakukan pada set kedua, selain prestasi menakjubkan daripada Lin Dan, yang disifatkan jurulatih kebangsaan, Datuk Misbun Sidek sebagai 95 peratus sempurna memerangkap jaguh nombor satu negara itu.

Kekalahan terbaru ini menyaksikan rantaian kegagalan Chong Wei memburu kejuaraan antarabangsa pertama sejak memperoleh status nombor satu dunia diperoleh 28 Ogos lalu.

Biarpun berpuas hati dengan prestasi keseluruhan anak buahnya, namun Misbun mengakui, Lin Dan terlalu unggul dan berada dalam kelas tersendiri.

Bagaimanapun kata Misbun, adalah penting buat Chong Wei untuk tidak hilang semangat atas kekalahan tersebut, sebaliknya terus memberi cabaran konsisten dan cuba mencari keputusan terbaik di Terbuka Hong Kong, minggu depan.

"Apa yang boleh saya katakan, Lin Dan adalah pemain yang unggul, prestasinya tidak berubah sejak menjuarai Sukan Olimpik. Biarpun berehat tiga bulan tetapi dia punya rakan sepelatih yang berkualiti tinggi, jadi dia sentiasa mendapat sesi latihan terbaik.

"Saya harap Chong Wei tidak jatuh semangat, sebaliknya kena ambil kekalahan secara positif. Prestasinya tidaklah teruk, dia konsisten cuma terperangkap dengan strategi Lin Dan yang begitu unggul,'' kata Misbun ketika dihubungi di Shanghai, semalam.

Menurut Misbun lagi, beliau berharap anak didiknya itu akan meneruskan prestasi konsisten pada Terbuka Hong Kong dengan melayakkan diri sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz518lGPEjO

© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei kena jadi juara - Misbun

ARKIB : 19/11/2008
KUALA LUMPUR - Tekanan menggunung sebagai pemain nombor satu dunia akan berkurangan jika jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mula mendapat sentuhan kemenangan.

Chong Wei yang gagal merangkul sebarang kejuaraan dalam tiga penampilan antarabangsa sejak tamat Sukan Olimpik, Ogos lalu, berdepan tugas sukar apabila memulakan kempen Terbuka China hari ini dengan jaguh dunia, Lin Dan turut kembali beraksi.

Bagaimanapun jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek percaya, anak didiknya itu mampu membebaskan diri dari belenggu tekanan jika dia mula mendapat sentuhan kemenangan, terutama di China.

"Kalau berjaya menang di China, ia mampu menjadi pencetus semangat paling besar dan membebaskan Chong Wei daripada bayangan tekanan yang selama ini mengganggunya, saya percaya dia juga sedar akan perkara ini.

"Menggalas harapan sebagai pemain nombor satu dunia amat berat, begitu pun perasaannya lebih teruk lagi apabila anda jadi nombor satu tetapi tidak menang apa-apa kejuaraan dalam tempoh tersebut, itulah yang dirasai Chong Wei ketika ini.

"Saya rasa masalah Chong Wei akan selesai atau setidak-tidaknya berkurangan kalau dia dapat satu gelaran, jika tidak di China... di Hong Kong, tetapi ia tidak semudah itu,'' kata Misbun.

Chong Wei terlepas peluang untuk merangkul gelaran antarabangsa pertama sejak merampas takhta nombor satu dunia apabila sekadar muncul naib juara Terbuka Jepun dan Macau, di mana dia tewas kepada jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dan Taufik Hidayat pada kedua-dua kejohanan.

Percubaan ketiganya di Terbuka Perancis, awal bulan ini juga gagal apabila tersingkir di separuh akhir, sekali lagi tewas kepada juara Olimpik 2004, Taufik.

Kejohanan Terbuka China menjadi peluang terbaru Chong Wei untuk mencari kejuaraan, namun laluannya lebih sukar dengan Lin Dan dan rakan-rakan kembali di pentas pertandingan selepas berehat panjang.

Malah, pemain nombor satu dunia itu juga bakal diuji pemain muda China, Qiu Yanbo pada pusingan pertama, sebelum dijangka menentang pemain Hong Kong, Ng Wei di pusingan kedua.

Jika berjaya melayakkan diri ke suku akhir kejohanan itu nanti, juara Terbuka Perancis dan Denmark, Peter Hoeg Gade adalah lawan bakal menanti.

Sekiranya berjaya melepasi halangan jaguh veteran Denmark itu, Chong Wei mungkin diuji pemain nombor tiga dunia, Chen Jin dari China pada separuh akhir, diikuti berdepan Lin Dan atau Taufik dalam saingan akhir.

Chong Wei, 26, yang merupakan naib juara Terbuka China dan Hong Kong tahun lalu akan menutup tirai 2008 sebagai pemain nombor satu dunia jika berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir pada kedua-dua kejohanan itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5189MCrI2

© Utusan Melayu (M) Bhd