ARKIB : 24/11/2008
KUALA LUMPUR - Jaguh
perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei gagal menebus kekalahan kepada Lin Dan
selepas tunduk kepada bintang China itu dalam perlawanan akhir Kejohanan
Badminton Siri Super Terbuka China di Shanghai, semalam.
Beraksi bersama status nombor
satu dunia dan membawa hajat untuk menebus kekalahan final Sukan Olimpik
Beijing, Chong Wei bagaimanapun akur dengan kekalahan 18-21, 9-21 dalam tempoh
39 minit.
Malah, harapan Malaysia untuk
membawa sekurang-kurangnya satu gelaran dalam acara beregu wanita juga tidak
kesampaian selepas Wong Pei Tty-Chin Eei Hui tunduk 14-21, 19-21 kepada beregu
tuan rumah, Zhang Yawen-Zhao Tingting.
Semalam, Chong Wei memberi
tentangan sengit pada set pertama, malah seketika mendahului Lin Dan sebelum
tumpas 18-21.
Namun, siri kesilapan yang
dilakukan pada set kedua, selain prestasi menakjubkan daripada Lin Dan, yang
disifatkan jurulatih kebangsaan, Datuk Misbun Sidek sebagai 95 peratus sempurna
memerangkap jaguh nombor satu negara itu.
Kekalahan terbaru ini menyaksikan
rantaian kegagalan Chong Wei memburu kejuaraan antarabangsa pertama sejak
memperoleh status nombor satu dunia diperoleh 28 Ogos lalu.
Biarpun berpuas hati dengan
prestasi keseluruhan anak buahnya, namun Misbun mengakui, Lin Dan terlalu
unggul dan berada dalam kelas tersendiri.
Bagaimanapun kata Misbun,
adalah penting buat Chong Wei untuk tidak hilang semangat atas kekalahan
tersebut, sebaliknya terus memberi cabaran konsisten dan cuba mencari keputusan
terbaik di Terbuka Hong Kong, minggu depan.
"Apa yang boleh saya
katakan, Lin Dan adalah pemain yang unggul, prestasinya tidak berubah sejak
menjuarai Sukan Olimpik. Biarpun berehat tiga bulan tetapi dia punya rakan
sepelatih yang berkualiti tinggi, jadi dia sentiasa mendapat sesi latihan
terbaik.
"Saya harap Chong Wei
tidak jatuh semangat, sebaliknya kena ambil kekalahan secara positif.
Prestasinya tidaklah teruk, dia konsisten cuma terperangkap dengan strategi Lin
Dan yang begitu unggul,'' kata Misbun ketika dihubungi di Shanghai, semalam.
Menurut Misbun lagi, beliau
berharap anak didiknya itu akan meneruskan prestasi konsisten pada Terbuka Hong
Kong dengan melayakkan diri sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz518lGPEjO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan