ARKIB : 19/11/2008
KUALA LUMPUR - Tekanan
menggunung sebagai pemain nombor satu dunia akan berkurangan jika jaguh
badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mula mendapat sentuhan kemenangan.
Chong Wei yang gagal merangkul
sebarang kejuaraan dalam tiga penampilan antarabangsa sejak tamat Sukan
Olimpik, Ogos lalu, berdepan tugas sukar apabila memulakan kempen Terbuka China
hari ini dengan jaguh dunia, Lin Dan turut kembali beraksi.
Bagaimanapun jurulatihnya,
Datuk Misbun Sidek percaya, anak didiknya itu mampu membebaskan diri dari
belenggu tekanan jika dia mula mendapat sentuhan kemenangan, terutama di China.
"Kalau berjaya menang di
China, ia mampu menjadi pencetus semangat paling besar dan membebaskan Chong
Wei daripada bayangan tekanan yang selama ini mengganggunya, saya percaya dia
juga sedar akan perkara ini.
"Menggalas harapan sebagai
pemain nombor satu dunia amat berat, begitu pun perasaannya lebih teruk lagi
apabila anda jadi nombor satu tetapi tidak menang apa-apa kejuaraan dalam
tempoh tersebut, itulah yang dirasai Chong Wei ketika ini.
"Saya rasa masalah Chong
Wei akan selesai atau setidak-tidaknya berkurangan kalau dia dapat satu
gelaran, jika tidak di China... di Hong Kong, tetapi ia tidak semudah itu,''
kata Misbun.
Chong Wei terlepas peluang
untuk merangkul gelaran antarabangsa pertama sejak merampas takhta nombor satu
dunia apabila sekadar muncul naib juara Terbuka Jepun dan Macau, di mana dia
tewas kepada jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dan Taufik Hidayat pada
kedua-dua kejohanan.
Percubaan ketiganya di Terbuka
Perancis, awal bulan ini juga gagal apabila tersingkir di separuh akhir, sekali
lagi tewas kepada juara Olimpik 2004, Taufik.
Kejohanan Terbuka China menjadi
peluang terbaru Chong Wei untuk mencari kejuaraan, namun laluannya lebih sukar
dengan Lin Dan dan rakan-rakan kembali di pentas pertandingan selepas berehat
panjang.
Malah, pemain nombor satu dunia
itu juga bakal diuji pemain muda China, Qiu Yanbo pada pusingan pertama,
sebelum dijangka menentang pemain Hong Kong, Ng Wei di pusingan kedua.
Jika berjaya melayakkan diri ke
suku akhir kejohanan itu nanti, juara Terbuka Perancis dan Denmark, Peter Hoeg
Gade adalah lawan bakal menanti.
Sekiranya berjaya melepasi
halangan jaguh veteran Denmark itu, Chong Wei mungkin diuji pemain nombor tiga
dunia, Chen Jin dari China pada separuh akhir, diikuti berdepan Lin Dan atau
Taufik dalam saingan akhir.
Chong Wei, 26, yang merupakan
naib juara Terbuka China dan Hong Kong tahun lalu akan menutup tirai 2008
sebagai pemain nombor satu dunia jika berjaya melayakkan diri ke perlawanan
akhir pada kedua-dua kejohanan itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5189MCrI2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan