Sabtu, 27 Mei 2017

Beng Hong kini tumpuan Misbun



ARKIB : 27/03/2005

KUALA LUMPUR - Setelah berjaya menggilap Muhammad Hafiz Hashim menjadi juara Seluruh England 2003 dan Wong Mew Choo mengungguli perseorangan wanita pada Sukan SEA 2003, tumpuan jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek kini terarah kepada Kuan Beng Hong.

``Berikan saya masa setahun setengah dan saya akan pastikan Beng Hong mampu menjadi pemain terbaik negara ketika itu,'' katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beng Hong, 21, merupakan seorang daripada pemain perseorangan negara selain Hafiz yang dipilih untuk dilatih sendiri oleh Misbun selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil seorang lagi jurulatih perseorangan dari China, Li Mao dan memilih bekas jurulatih beregu negara, Yap Kim Hock sebagai ketua jurulatih kebangsaan pada Februari lepas.

Li Mao bertanggungjawab melatih baki perseorangan lelaki negara yang lain termasuk pemain perseorangan utama negara, Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng dan Yeoh Kay Bin.

``Saya kini dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada dua pemain jagaan saya, Hafiz dan Beng Hong. Hafiz telah mantap permainannya dan kini giliran Beng Hong untuk digilap.

``Beng Hong mempunyai kelebihan semula jadi untuk muncul antara pemain terbaik dunia. Tanggungjawab saya ialah menunjukkan jalan bagaimana Beng Hong perlu memanipulasi kelebihannya itu,'' kata Misbun.

Misbun berkata, Beng Hong, pemain pelapis yang dinaikkan taraf ke skuad senior negara selepas persembahan meyakinkan pada beberapa kejohanan pada tahun lepas.

``Bagaimanapun, Beng Hong memerlukan masa untuk mematangkan permainannya dan perlu terus dihantar ke kejohanan antarabangsa,'' katanya.

Musim lepas, Beng Hong muncul naib juara dalam dua kejohanan antarabangsa iaitu Terbuka Taiwan pada Disember apabila tewas 4-15, 10-15 kepada Chong Wei pada pusingan akhir dan Satelit Asia di Singapura pada September, tewas 12-15, 5-15 kepada pemain tuan rumah, Kendrik Lee.

Sehingga Mac ini, Beng Hong telah dihantar menyertai empat kejohanan antarabangsa bermula dengan Terbuka Korea (25-30 Januari), Terbuka Jerman (28 Februari-5 Mac), Kejohanan All England (8-13 Mac) dan Terbuka Switzerland (15-20 Mac). Pencapaian terbaiknya ialah pada Terbuka Switzerland bila berjaya ke peringkat suku akhir. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iKmy1qDS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 6 Mei 2017

Misbun sedia hadapi risiko



ARKIB : 18/01/2005
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
 
MISBUN Sidek mengambil risiko terbesar dalam kariernya sebagai jurulatih badminton kebangsaan apabila memilih untuk mengetepikan pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei, Wong Choong Hann dan Lee Tsuen Seng bagi melatih pemain pelapis, Kuan Beng Hong dan Muhd. Hafiz Hashim.

Keputusan tersebut, yang sudahpun dimaklumkan kepada ketua jurulatih baru, Yap Kim Hock semalam, agak memeranjatkan, apatah lagi Misbun adalah orang yang bertanggungjawab menaikkan Chong Wei ke tahap sekarang.

Kini, Chong Wei, Choong Hann dan Tsuen Seng akan berada bawah pengawasan jurulatih baru, Li Mao dari China bersama pemain perseorangan wanita, Wong Mew Choo, Yeoh Kay Bin serta K. Yogendran.

Menurut Misbun, beliau sanggup mengambil risiko kerana yakin Beng Hong merupakan pemain yang hanya menunggu masa untuk berada dalam kelompok elit, manakala Hafiz pula memerlukan perhatian untuk kembali kepada prestasi asalnya.

``Biarlah orang hendak kata saya macam lembu sekalipun, saya tahu apa yang saya mahu,'' tegas Misbun ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

``Saya sudah membantu Chong Wei berada pada kedudukan yang baik, sekarang dia hanya perlu dikekalkan. Kini giliran Beng Hong untuk naik, dia adalah pemain paling berpotensi ketika ini.''

Bagaimanapun tegas Misbun lagi, sasarannya ke atas Beng Hong bukan untuk memenangi gelaran tertentu pada masa terdekat, sebaliknya memperbaiki ranking dunia pemain itu, sebelum matang sepenuhnya dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Hafiz pula katanya sudahpun memiliki sentuhan tetapi ia telah tumpul selepas dia muncul juara Seluruh England dua tahun lalu dan perlu ditajamkan kembali.

Misbun mengakui, beliau kini berdepan cabaran besar untuk meyakinkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan orang ramai bahawa Beng Hong sememangnya mampu diketengahkan seperti pemain elit yang lain.

``Mengapa saya pilih Beng Hong dan bukan pemain lain ? Saya nampak dia ada bakat yang boleh menjadikannya pencabar kepada pemain utama dunia.

``Ia agak taktikal untuk saya jelaskan kelebihan yang ada padanya. Apa yang boleh saya kata, corak permainannya seperti Heryanto (Arbi, bekas juara dunia Indonesia) dan Sony (Dwi Kuncoro, bekas juara Asia Indonesia).

``Dia memiliki permainan yang boleh mengejutkan mana-mana pemain handalan tetapi mudah tenggelam juga, jadi untuk mengelakkan dia daripada tenggelam pemain seperti ini memerlukan tumpuan khusus.''

Ujian pertama Misbun dan Beng Hong adalah pada Terbuka Korea yang akan berlangsung pada 25-30 Januari ini, apatah lagi pemain senior seperti Chong Wei, Choong Hann dan Tsuen Seng tidak disenaraikan pada kejohanan bertaraf enam bintang itu.

Hafiz dan abangnya, Mohd. Roslin Hashim juga akan beraksi pada kejohanan bernilai AS$250,000 (RM950,000) itu. Ia juga dianggap pertandingan penting buat Roslin untuk meraih semula kepercayaan BAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) selepas tidak disenaraikan dalam skuad projek 2006/2008.

``Roslin tiada dalam pasukan projek 2006/2008 mungkin dia akan meneruskan latihannya di Nusa (Mahsuri),'' kata Kim Hock.

``Saya fikir Misbun telah mengambil kira pelbagai faktor dan pandangan sebelum membuat keputusan untuk melatih Beng Hong dan Hafiz, jadi kita harus hormati keputusannya.

``Begitupun saya tidak nampak ia satu masalah besar kerana dalam sesi taklimat hari ini kedua-dua jurulatih telah bersetuju bahawa pemain akan sesekali berlatih bersama dan boleh bertukar-tukar jurulatih jika mahu.''

Beng Hong, 22, memulakan musim 2004 sebagai pemain nombor 98 dunia tetapi menunjukkan kemajuan besar sepanjang tempoh setahun dan melangkah ke tahun 2005 sebagai pemain ranking 27 dunia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gMabZiIc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Misbun tetap jadi pilihan utama BAM?

ARKIB : 13/01/2005

KIM Hock (kiri) merupakan calon paling layak untuk memikul tugas ketua jurulatih kebangsaan sekiranya Misbun (dua dari kanan) menolak jawatan tersebut pada mesyuarat Exco BAM, Jumaat ini.



WALAUPUN beberapa kali menegaskan bahawa beliau tidak berminat menjadi ketua jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek tetap dilihat sebagai calon pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila keputusan diumumkan esok.
Memandangkan syarat wajib untuk menyandang jawatan tersebut adalah orang tempatan, justeru tiada calon lain pada ketika ini yang dianggap lebih berwibawa berbanding bekas jurulatih Nusa Mahsuri itu.
Biarpun Misbun secara terbuka berkata, beliau tidak kisah untuk bekerja di bawah jurulatih lebih junior, adakah pandangan itu dapat diterima oleh jurulatih lain atau pemain ?
Jika bukan Misbun, calon yang ada untuk menjadi ketua jurulatih ialah Yap Kim Hock (jurulatih beregu), Cheah Soon Kit (beregu wanita), Rashid Sidek dan Teh Seu Bok - dua jurulatih perseorangan.
Namun jika calon yang dipilih tidak memiliki latar belakang yang cukup baik sebagai pemain atau tidak mampu mengurus, dia mungkin tidak menerima kerjasama atau penghormatan yang sepatutnya diterima seorang ketua jurulatih.
``Adalah penting, orang yang hendak dipilih itu mempunyai pengetahuan luas mengenai badminton, sebaik-baiknya bekas pemain dan tahu selok belok pengurusan,'' kata Misbun.
Ketika diberitahu bahawa beliau dilihat memiliki ciri-ciri itu, Misbun pantas berkata: ``Bagilah orang lain, saya percaya BAM akan jumpa calon yang sesuai.
Bagi BAM, semua jurulatih yang berada dalam pasukan kebangsaan ketika ini harus bersedia untuk menjadi ketua jurulatih, dan Misbun tidak terkecuali.
``Saya tidak rasa masalah akan timbul kalau jurulatih yang ada sekarang perlu memikul tugas ketua jurulatih, ia tidak perlu diberikan kepada orang luar,'' kata Setiausaha Kehormat BAM, Ganga Rao.
Jika bukan Misbun, Kim Hock adalah calon yang paling menonjol ketika ini, apatah lagi dia memiliki reputasi hebat sebagai pemain dengan merangkul pingat perak Sukan Olimpik 1996 sebagai pemain beregu.
Beliau juga mempunyai pengalaman luas mengendalikan pemain berprestasi tinggi seperti Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, malah menaikkan nama beregu muda Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui, Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Latifi dan Koo Kien Keat.
Kejayaan terbesar Kim Hock sejak menggantikan Joo-bong pada 2002 adalah membantu Tan Fook-Wan Wah muncul naib juara Seluruh England 2004, juara Sukan SEA 2003 dan juara Terbuka Malaysia tahun lalu.
Bagaimanapun beliau sendiri kini sedang berada dalam dilema, tidak dapat memberikan tumpuan kepada pemain selepas pemergian pembantunya, Tan Kim Her yang beralih angin ke Korea Selatan baru-baru ini.
Pasangan Kim Hock ketika menjuarai Sukan Olimpik 1996, Soon Kit juga mempunyai kewibawaan yang tidak boleh diketepikan terutama ketika bergelar pemain. Namun dia lebih dikenali sebagai jurulatih beregu wanita dan dalam erti kata lain, tidak mempunyai pengalaman bekerja dengan pemain elit.
Begitupun kejayaan pasangan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul beregu wanita pertama Malaysia beraksi di Olimpik dan kini berkedudukan kelapan dunia dilihat sebagai pencapaian terbaiknya.
Pemenang pingat gangsa Atlanta 1996, Rashid dan Seu Bok kurang menonjol jika dibandingkan Kim Hock atau Soon Kit tetapi sebagai pembantu Misbun, kedua-duanya memiliki pengalaman bekerja dengan pemain elit seperti Wong Choong Hann, Lee Chong Wei, Mohd. Roslin Hashim serta Muhd. Hafiz Hashim.
Bermula daripada era Datuk Punch Gunalan pada 1992 hingga 1994, BAM jelas hanya memilik ketua jurulatih yang memiliki latar belakang cemerlang termasuk Razif Sidek pada 1994-1996, Morten Frost Hansen dari Denmark (1997-2000) dan Park Joo-bong dari Korea Selatan dari 2000-2002.

Misbun tidak berminat -- Jawatan Ketua Jurulatih

ARKIB : 12/01/2005

LI MAO (kiri) turut menyertai sesi taklimat yang diadakan oleh Misbun selepas tamat latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.



Misbun Sidek mengakui beliau tidak berminat untuk mengekalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih kebangsaan sebaliknya lebih senang jika hanya bergandingan dengan jurulatih baru dari China, Li Mao melatih pemain-pemain elit negara.
Misbun yang kini menjadi calon pilihan untuk memikul tugas ketua jurulatih selepas Persatuan Badminton Malaysia mengesahkan ia tidak akan dibuka kepada orang luar berkata, menjadi jurulatih prestasi tinggi sepenuh masa memberi lebih kepuasan kepadanya.
Katanya, beliau tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya kepakaran dalam bidang teknikal jika terpaksa memikul tanggungjawab ketua jurulatih kerana keadaan akan menjadi lebih terikat dan terhad.
``Ia (tugas ketua jurulatih) adalah soal tanggungjawab. Bukan saya tak mahu pikul tanggungjawab tetapi skop saya akan menjadi lebih besar dan pasti saya tidak dapat memberi tumpuan kepada latihan pemain,'' kata Misbun pada sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
``Kepakaran saya adalah dalam bidang kejurulatihan, bukan pengurusan. Sudah tentu saya tidak dapat menggunakan kepakaran saya itu secara maksimum jika pada masa yang sama terpaksa pula menjalankan kerja-kerja pengurusan.
``Sebagai ketua jurulatih, anda perlu masuk bilik mesyuarat, pantau perkembangan semua pemain. Ia sudah tentu menghadkan apa yang ingin saya lakukan.''
Bagaimanapun tegas Misbun lagi, beliau menyerahkan kepada BAM untuk menentukan kedudukannya dalam skuad kebangsaan dan bersedia dengan sebarang keputusan yang akan diputuskan Exco pada mesyuarat Jumaat ini.
Malah, beliau berjanji akan memberi komitmen penuh walau apapun posisi yang bakal diterima, selain yakin dapat segera mencapai persefahaman dengan Li Mao.
``Kami (hubungan dengan Li Mao) patut tiada masalah. Saya yakin kami akan saling memahami tugas masing-masing.
``Saya yakin kemasukannya akan menguatkan pasukan negara, tidak timbul soal bersaing atau siapa latih siapa. Kami mungkin akan melatih pemain yang sama secara bergilir, hari ini mungkin saya latih (Lee) Chong Wei, esok Li Mao pula.''
Misbun percaya walaupun memiliki dua jurulatih, keadaan tersebut tidak akan mengundang kekeliruan kepada pemain kerana kebanyakan pemain elit mempunyai pengalaman yang luas untuk menerima apa jua bentuk latihan.
Kenyataan Misbun itu disokong oleh pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei yang mengakui beliau bersedia untuk berada di bawah bimbingan Li Mao, sekalipun mengakui semakin selesa dengan Misbun.
Begitupun juara Terbuka Malaysia dan Taiwan itu mengakui, dia mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan jurulatih baru tetapi menegaskan ia bukanlah satu masalah besar.
``Dulu saya berlatih dengan Indra (Gunawan, bekas jurulatih kebangsaan) kemudian tukar kepada Misbun. Keadaan pada ketika itu agak sukar kerana corak latihan Indra dan Misbun jauh berbeza,'' kata Chong Wei.
``Indra lebih gemar menggunakan pendekatan psikologi dengan latihan yang agak ringan, Misbun pula lebih kepada latihan fizikal yang keras bagi memastikan setiap pemainnya cergas.
``Saya menunjukkan kemajuan besar bersama Misbun. Dia telah membantu menaikkan ranking saya daripada 129 kepada nombor lapan dunia sekarang.
``Kalau boleh saya mahu terus bersamanya tetapi terserah kepada pihak pengurusan dan jurulatih untuk menentukan apakah program latihan saya selepas ini.''

Misbun ketua jurulatih?

ARKIB : 11/01/2005

MISBUN bertemu jurulatih baru dari China, Li Mao yang akan membantunya melatih pemain badminton elit kebangsaan pada sidang akhbar di Bukit Kiara semalam.



JURULATIH negara, Misbun Sidek dan jurulatih baru dari China, Li Mao akan berganding membimbing pemain elit yang bakal dipecahkan kepada dua kumpulan - skuad 2006 dan 2008 dalam struktur baru badminton kebangsaan yang akan diumumkan Jumaat ini.
Pengumuman tersebut dilakukan oleh presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd. Nadzmi Salleh semalam, sekali gus mengesahkan bahawa kehadiran Li Mao bukan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih.
Sebaliknya Misbun kini menjadi calon pilihan untuk menyandang jawatan berkenaan selepas BAM menegaskan bahawa ia hanya akan diisi oleh seorang jurulatih tempatan.
Dan, sekiranya Misbun mendapat kepercayaan itu apabila exco BAM bermesyuarat Jumaat ini, ia bermakna dia harus bersedia untuk memikul dua tugas - ketua jurulatih dan jurulatih salah satu daripada skuad elit - 2006 atau 2008.
Malah, jika Li Mao disahkan bakal menandatangani kontrak dua tahun dengan opsyen dua tahun bersama pasukan Malaysia, BAM juga mengesahkan bahawa kontrak Misbun yang berakhir pada Disember lalu turut dilanjutkan.
``Kehadiran Li Mao bukan untuk mengambil alih tugas Misbun atau jurulatih tempatan, malah bukan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih,'' kata Nadzmi pada sidang akhbar di Bukit Kiara semalam.
``Dia akan membantu Misbun membimbing pemain-pemain elit yang bakal dipecahkan kepada dua kumpulan - skuad untuk 2006 dan pasukan untuk 2008.
``Struktur baru pasukan kebangsaan ini dibuat bagi membolehkan pemain memberi tumpuan kepada sasaran mereka, namun butiran terperinci mengenai kedudukan sebenarnya hanya akan dibincang pada mesyuarat exco, Jumaat ini.''
Menurut Nadzmi, kedua-dua pasukan akan dibarisi oleh pemain yang berbeza dengan fokus yang juga berbeza. Tumpuan utama skuad 2006 adalah Sukan Asia Doha selain Sukan Komanwel, manakala pasukan 2008 pastinya Sukan Olimpik di Beijing.
Katanya lagi, para pemain juga terdiri daripada pelbagai peringkat umur dengan kemungkinan besar turut dibarisi pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pemain remaja daripada pasukan-pasukan negeri.
Misbun dijangka memilih untuk melaksanakan program jangka panjang dengan kemungkinan membimbing pemain muda seperti Lee Chong Wei, Kuan Beng Hong, Yeoh Kay Bin serta pemain-pemain remaja.
Li Mao pula mungkin melatih pemain elit seperti Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng, Muhd. Hafiz Hashim dan Mohd. Roslin Hashim.
``Kalau hendak menang pingat Sukan Olimpik kita perlu bersedia lebih awal, bukannya dua tahun sebelum temasya itu bermula,'' kata Nadzmi.
``Kita memerlukan satu formula terbaik kalau mahu berjaya, struktur baru ini adalah formula terbaik kita ketika ini.''
Nadzmi juga menegaskan, keputusan untuk mengambil jurulatih luar bukan bermakna badan badminton kebangsaan itu sudah hilang kepercayaan kepada jurulatih tempatan.
Tegasnya, jurulatih tempatan seperti Misbun dan Yap Kim Hock (beregu) merupakan jurulatih yang berwibawa tetapi Malaysia kekurangan jurulatih seperti ini untuk melatih pemain-pemain bertaraf dunia.
``Kehadiran Li Mao adalah untuk menampung kekurangan dan membantu Misbun, jadi tidak timbul soal kita tidak percaya kepada jurulatih tempatan.''
Sementara itu Nadzmi juga berkata, BAM sedang mencari jurulatih beregu baru untuk membantu Kim Hock dengan struktur yang sama digunakan dalam program pemain perseorangan.