Rabu, 21 Jun 2017

Perlu diberi pendedahan sebelum bergelar jurulatih



18 Jun 2017
 Misbun Sidek
Misbun Sidek

BEKAS pemain kebangsaan yang dipilih menjadi jurulatih kebangsaan perlu diberi pendedahan di peringkat lebih rendah bagi memantapkan pengalaman dan kemahiran, kata ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek.

Beliau berkata, mereka perlu diberi pendedahan seperti murid di sekolah sukan  sebelum berkhidmat dengan skuad kebangsaan kerana pengalaman lalu akan memberi impak besar terhadap apa yang akan mereka berikan kepada pemain negara.

"Kalau bekas atlet kebangsaan ini tiba-tiba ada di atas (menjadi jurulatih), mereka nak kawal atlet kebangsaan ini untuk sesuatu teknik, nanti pemain itu akan rasa, dia (jurulatih) pun tak pernah menang...ini sebenarnya yang susah," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai bekas perseorangan  badminton negara Muhammad Hafiz Hashim dijangka menyertai barisan  kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelang September ini.

Terdahulu, beliau berbuka puasa bersama anak yatim piatu anjuran Gifted Community dan Komuniti I love Manjung (KILM) di Syarikat Setia Awan Holdings Sdn Bhd di sini semalam.

Misbun merupakan duta bagi projek baharu syarikat perumahan tersebut di Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP), yang mana sebuah dewan diberi nama Dewan Badminton Datuk Dr Hj Misbun Sidek akan didirikan di bandar itu sebagai pusat bagi melahirkan pemain badminton baharu.

Mengulas mengenai kekalahan pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei pada pusingan kedua Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Jumaat lalu, Misbun berkata, beliau melihat kekalahan tersebut dari sudut positif dan tidak akan menganggu misi untuk memenangi Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos nanti.

"Chong Wei sebenarnya tidak tahu dia adalah sasaran utama dan mereka (pemain lain) tahu kelemahan dan corak permainan dia, jadi dia perlu sedar mengenai perkara itu. Mungkin dia juga keliru dengan corak permainan dia dengan jurulatih-jurulatih berbeza sebelum ini," katanya.

Sehingga kini, Misbun menjangkakan usaha melahirkan pemain badminton kebangsaan setanding Datuk Lee Chong Wei akan mengambil masa 10 ke 20 tahun lagi berikutan tiada pelapis negara yang mampu menandingi pemain berumur 34 tahun itu.

"Ini terjadi pada semua negara. Contohnya, Indonesia juga masih gagal mencari pengganti Taufik Hidayat, Thailand juga gagal mencari pengganti Boonsak Ponsana, manakala Denmark setidak-tidaknya Peter Gade digantikan Victor Axelsen.

"Perancangan jangka masa panjang sangat penting maka sebab itu apabila gabungan persatuan melihat pada pembangunan junior remaja, itu adalah amat penting, kalau tidak setakat itu sahaja," katanya yang bakal memulakan kariernya sebagai ketua jurulatih perseorangan negara semula, awal Julai nanti.

Misbun adalah individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei sehingga muncul sebagai pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super, dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan All England.

Namun, beliau meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran BAM untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun kemudian pada 2013 atas 'sebab peribadi'. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 18 jun 2017

Sabtu, 10 Jun 2017

Kepulangan Misbun ke BAM langkah tepat



 SHAPAWI yakin dengan kemampuan Misbun.

KEPULANGAN legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku ketua jurulatih perseorangan negara merupakan keputusan yang tepat.

Demikian tegas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Menurut Shapawi, Misbun merupakan antara jurulatih terbaik pernah dilahirkan oleh BAM dan sebagai seorang yang pernah bekerjasama dengan Misbun sebelum ini, beliau percaya kepulangan legenda badminton negara itu bakal mengembalikan kegemilangan pemain perseorangan negara.

“Dengan kehadiran Misbun dalam BAM, beliau akan membantu meningkatkan prestasi pemain No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei serta membangkitkan kembali semangat pemain perseorangan badminton negara yang lain.

“Beliau juga akan memastikan kesinambungan dalam melahirkan pemain-pemain muda yang bakal menggantikan tempat Chong Wei pada masa akan datang,” kata Shapawi ketika ditemui pada program Kasih Sesuci Lebaran bersama 73 anak yatim anjuran Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Nouvelles Visages di Mydin Mall, Subang Jaya semalam.

Shapawi berkata, dalam usaha Chong Wei untuk bergelar juara dunia, pemain itu memerlukan sokongan serta bimbingan daripada jurulatih berpengalaman dan individu yang benar-benar mengenali rentak permainannya.

“Kita harus menyokong hasrat Chong Wei yang masih lagi ingin menabur bakti serta mengharumkan nama negara walaupun umurnya sudah mencecah 34 tahun.

“Jadi, keazaman beliau yang ingin menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti memerlukan sokongan jurulatih mantap dan Misbun merupakan pilihan tepat,” katanya.

Shapawi berpendapat, dengan kepulangan Misbun, pemain-pemain muda dalam BAM juga akan menerima tempias berkaitan strategi permainan serta kemahiran teknikal dalam setiap latihan yang dikendalikannya nanti.

Misbun merupakan individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei hingga muncul sebagai pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan Seluruh England.

sumberArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jdwoQoZK
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 9 Jun 2017

Ada syarat



Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Datuk Misbun Sidek hampir 90 peratus akan kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berperanan sebagai jurulatih peribadi khas untuk jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Berdasarkan perkembangan terbaru, difahamkan Misbun sudah bertemu dengan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kelmarin dan perbincangan itu berjalan lancar serta hampir mencapai kata sepakat.

Menurut sumber, hanya beberapa perkara perlu diselesaikan selain ia dibincangkan terlebih dulu pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) hari ini.

“Secara asasnya, persetujuan sudah dicapai. Ini soal Chong Wei mahukan khidmat Misbun dan untuk itu, Misbun juga perlu mengemukakan kemahuannya.

“Komitmen Misbun hanya pada Chong Wei dan jurulatih lain mungkin akan kekal membimbing pemain perseorangan lain.

“Chong Wei pula berjanji akan memberi komitmen sepenuhnya untuk berlatih di bawah Misbun dan cuba memberikan banyak kejayaan kepada negara,” katanya.

Semalam Arena Metro melaporkan selepas enam tahun meninggalkan BAM, bekas jurulatih perseorangan negara itu kemungkinan besar akan kembali ke badan induk itu.

Khabar angin mula timbul selepas Chong Wei dilihat kerap bertemu Misbun di kediaman legenda badminton negara itu.

Misbun, 57, individu yang bertangungjawab membentuk karier Chong Wei hingga menyaksikan pemain nombor satu dunia itu mencipta pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa sebelum meninggalkan BAM pada 2011 kerana difahamkan tidak sehaluan dengan pihak pengurusan.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 9:52 AM

Pengorbanan Misbun untuk Chong Wei



Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
 
MISBUN (kanan) akan kembali membimbing Chong Wei selepas bersetuju untuk menyertai BAM.

LEGENDA badminton negara, Datuk Misbun Sidek membuat keputusan menerima tawaran selaku ketua jurulatih acara perseorangan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ekoran rayuan Datuk Lee Chong Wei.

Menurut Misbun, pujukan serta rayuan jaguh perseorangan lelaki negara itu telah membuka pintu hatinya untuk kembali ke pangkuan BAM.

Jurulatih berusia 57 tahun itu mengakui pujukan serta rayuan Chong Wei yang dianggap sebagai anak sendiri nyata menyentuh hatinya sebelum membuat keputusan menerima tawaran badan induk badminton negara itu.

“Sebab utama saya menyahut cabaran untuk kembali ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia) pada kali ini adalah kerana Datuk Lee Chong Wei.

“Apa yang menyentuh hati saya ialah kali ini dia (Chong Wei) sangat berharap agar saya kembali. Mungkin dia mahu menamatkan kariernya bersama saya.”

“Selepas melihat kesungguhannya, saya tanya apa sebab untuk saya kembali dan dia menceritakan segala-galanya kepada saya. Saya akur dan terima tawaran ini khas untuk dia (Chong Wei),” kata Misbun semalam.

Misbun yang pernah bersama BAM pada 2002 hingga 2011 percaya Chong Wei yang pernah digilap sehingga menjadi pemain handalan dunia berhasrat untuk berada di bawah kendaliannya sebelum menamatkan karier sebagai pemain badminton.

“Dia sudah macam anak sendiri dan sudah tentu saya akan tolong kerana sudah banyak kali dia datang berjumpa saya. Mungkin dia harapkan sentuhan penghabisan daripada saya ataupun mahu menamatkan kariernya bersama saya.

“Bagaimanapun adakah BAM terima saya seadanya? Oleh sebab itu saya jumpa dengan Datuk Seri Mohd. Norza Zakaria dan berbincang mengenai keikhlasannya mahu saya kembali ke BAM. Kalau diikutkan, saya tidak mahu tetapi demi Chong Wei saya bersetuju balik (ke BAM),” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Banting, Selangor itu juga seolah-olah memberi amaran awal kepada pemain-pemain muda lain agar menghormati serta sedia menerima latihan keras yang bakal diterapkan beliau sebaik sahaja memulakan tugas 1 Julai depan.

“Jika pemain perlukan saya, mereka perlu ikut apa yang saya mahu. Saya mahu lihat kesungguhan mereka, jadi dari situlah saya tahu apa yang perlu dibantu. Saya mahukan pemain yang komited kerana mereka dibayar untuk bermain.

“Sudah tentu persatuan sudah berikan mereka garis panduan yang perlu diikuti, jadi mereka tidak boleh salahkan sesiapa sekiranya mereka digugurkan. Saya tidak mahu pemain yang sekadar menjadi penumpang sahaja,” tegas Misbun.

Misbun yang dilantik dengan kontrak selama dua tahun itu memiliki misi sukar membantu skuad negara membawa pulang Piala Thomas ke tanah air.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jY5Wz8wo
Hakcipta terpelihara