Sabtu, 28 Disember 2019

Misbun calon pilihan BAM

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek antara calon pilihan yang ingin dipujuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengisi jawatan Pengarah Kejurulatihan.Pemilihan Misbun itu dibuat selepas badan induk negara berkenaan terpaksa menolak calon sebelum ini iaitu bekas jaguh perseorangan Denmark Morten Frost Hansen.

Antara yang menyebabkan BAM terpaksa melupakan Frost adalah permintaan gaji terlalu tinggi iaitu kira-kira RM100,000 sebulan yang dimahukan oleh juara Seluruh England empat kali itu.

Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Keupayaan, Kemahiran dan Penyelidikan yang dipengerusikan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff kelmarin.
 Foto
MISBUN (kanan) bertanggungjawab bina karier cemerlang Chong Wei.
Turut hadir, jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei yang mewakili pemain.Menurut sumber, kegagalan mendapatkan Frost mendorong BAM untuk mencari calon pengganti lain dan antara yang menjadi pilihan adalah Misbun.Namun usaha untuk mendapatkan Misbun bukan mudah dan atas faktor itu, BAM mungkin memerlukan bantuan pihak luar bagi memujuk bekas jurulatih negara itu.

Misbun cukup dikenali sebagai individu yang bertanggungjawab membina karier cemerlang Chong Wei.
 Bagaimanapun beliau membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan pada 2011 kerana dikatakan sudah tidak senang dengan pengurusan BAM.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

MYMETRO ONLINE 15.2.14

Ahad, 17 November 2019

Ketua Jurulatih, Datuk Misbun Sidek. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SUKAN»Raket
Khamis, 4 Julai 2019 | 10:06pm
BAM masih tagih sentuhan Misbun
Oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih menagih sentuhan Datuk Misbun Sidek bagi melahirkan pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei yang bersara bulan lalu.

Justeru, badan induk itu berhasrat memperbaharui kontrak ketua jurulatih perseorangan lelaki negara berkenaan yang tamat pada 30 Jun lalu.

Pengurus Besar BAM, Michelle Chai, berkata pihaknya ketika ini di peringkat akhir rundingan bagi memperbaharui kontrak jurulatih berusia 59 tahun itu.

“Ya, kami berhasrat untuk menyambung kontrak Misbun tetapi kami masih dalam proses rundingan berhubung terma dalam kontrak. Jika semuanya dipersetujui, ia akan dimuktamad.

“Perkara ini juga akan dibawa dalam mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) yang diadakan, esok,” kata Michelle kepada BH Sukan.

Selepas meletak jawatan pada 2011, Misbun kembali ke pangkuan BAM pada Julai 2017 dengan beliau ditawarkan kontrak selama dua tahun bagi membantu melahirkan bintang baharu negara.

Sepanjang tempoh dua tahun ini, magis Misbun sudah mula membuahkan hasil apabila Lee Zii Jia kini bergelar pemain perseorangan lelaki nombor satu negara dengan dia menghuni ranking ke-18 dunia.

Di bawah bimbingan Misbun, Zii Jia yang berusia 21 tahun turut menghasilkan keputusan positif di pentas antarabangsa termasuk muncul juara Terbuka Taiwan dan naib juara Master Korea 2018.

Awal tahun ini, Zii Jia mara hingga suku akhir dalam empat kejohanan berturut-turut bermula Masters Thailand, Malaysia, Indonesia dan Terbuka Jerman.

Dalam pada itu, Michelle turut memberitahu tiada sidang media akan diadakan selepas tamat mesyuarat C&T esok, sebaliknya ia akan diadakan keesokan harinya sebaik selesai mesyuarat Ahli Majlis BAM.

“Semua keputusan dibuat dalam mesyuarat C&T esok akan diumumkan ketika sidang media selepas mesyuarat ahli majlis. Ia lebih mudah untuk pihak media,” kata Michelle.[i]




[i] https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2019/07/581314/bam-masih-tagih-sentuhan-misbun

Isnin, 21 Oktober 2019

Usaha Misbun berhasil


ARKIB : 23/05/1998
USAHA Misbun Sidek melatih Roslin Hashim sejak dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain Kelantan berusia 23 tahun itu menjadi wira, mengutip mata kemenangan negara pada perlawanan separuh akhir bertemu Denmark di Stadium Tertutup Queen Elizabeth, semalam.
Pertemuan sengit yang menyaksikan kedua-dua negara terikat 2-2 akhirnya menjadi milik Malaysia setelah Roslin menewaskan pemain muda Denmark, Kenneth Jonassen 15-18, 15-5, 15-8 selepas bertarung selama 65 minit.
''Saya tahu Roslin boleh memenangi pertemuan ini kerana dia sudah bersedia. Dia sudah sampai ke tahap permainan yang tinggi dan pada peringkat ini, dia mampu membuat kejutan,'' katanya yang menjadi orang paling gembira dengan kemenangan itu.
Menurut Misbun, dia tidak bimbang dengan permainan Roslin tetapi risau tentang tahap tumpuan pemain itu dan kemampuannya mengawal perasaan takut dengan tanggungjawab berat yang dipikulnya sebagai perseorangan ketiga.
''Saya tidak bimbang permainannya tetapi bimbang dengan orangnya kerana dalam keadaan seperti tadi, perasaan takut boleh mengatasi segala kemampuannya dan menyebabkan dia hilang tumpuan.
''Sekiranya ini berlaku, dia tidak mungkin boleh menang,'' ujarnya.
Roslin mendapat tunjuk-ajar secara peribadi daripada Misbun selepas pemain itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhir 1996.
Sementara itu, Roslin menerima panggilan daripada penaung BAM, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohammad Ali sebaik memenangi perlawanan tersebut.
Menurut Roslin, Dr. Siti Hasmah yang menyaksikan perlawanan yang dipancarkan secara langsung oleh Radio Television Malaysia (RTM) mengucapkan tahniah kepadanya dan semua pemain negara yang membawa cabaran ke kejohanan Piala Thomas ke-20 itu.
''Dia (Dr. Siti Hasmah) mengucapkan tahniah dan berharap semua pemain mempamerkan permainan yang lebih baik di perlawanan akhir nanti,'' katanya.
Menjelaskan mengenai pertemuannya, dengan Kenneth Jonassen itu, Roslin berkata, dia terasa agak tertekan pada set pertama kerana hilang beberapa mata kepada pemain Denmark itu.
Tetapi menurutnya, dia bangkit pada set kedua untuk menang 15-5 bagi memaksa perlawanan diteruskan ke set penentuan.
Menurut pemain yang mempunyai kelebihan dari segi pertahanan, pada masa rehat selepas set kedua itu, Misbun memberi arahan agar bermain dengan tenang dan menanti peluang untuk mematikan lawan sebaik mungkin.
''Dia menasihatkan saya supaya tidak kelam kabut ketika digelanggang dan menggunakan kelebihan saya bermain rali untuk mematahkan pertahanan lawan,'' katanya yang mengakui permainan ralinya menjadi sepanjang perlawanan itu.

Ahad, 20 Oktober 2019

Misbun kurang senang sikap Morten Frost


ARKIB : 08/05/1998

MISBUN


JURULATIH kelab badminton profesional Nusa Mahsuri, Misbun Sidek menyelar kelancangan mulut Morten Forst Hansen yang menganggap adiknya pengecut dan tidak bersemangat patriotik ketika menyatakan penarikan diri daripada skuad Piala Thomas negara, minggu lalu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Misbun juga mempertikaikan hak Frost untuk bersikap seperti 'diktator' apabila memberikan tekanan berterusan terhadap adiknya itu supaya mendapatkan satu mata menerusi acara perseorangan tanpa mengira walau dengan apa cara sekalipun.
''Apa haknya untuk menekan Rashid sebegitu sekali sedangkan adik saya di bawah naungan sebuah kelab yang profesional, Nusa Mahsuri dan saya sendiri yang sering membimbingnya.
''Mengapa mesti dia berbuat begitu? Ini seolah-olah menggambarkan dia sendiri kurang pasti sama ada pemain di bawah bimbingannya seperti Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin mampu menyumbangkan mata daripada acara perseorangan,'' kata Misbun lagi.
Ujar bekas jaguh negara itu, Rashid menjelaskan kepadanya bahawa dia sudah tidak mampu lagi dibebankan dengan tekanan orang luar walaupun pelbagai cara sudah dicuba untuk mengatasinya ketika sesi latihan harian.
''Bayangkan jika dalam latihan pun, Rashid tewas dengan mudah kepada Roslin Hashim (seorang lagi pemain Nusa). Malah pukulan lawan semakin sukar dijangkau Rashid lagi kerana jiwanya terkongkong dengan sikap keras Frost itu.
Tambah Misbun, Rashid menyatakan pengunduran diri daripada skuad ke Hong Kong itu dengan cara profesional dan ada 'hitam putihnya' (surat rasmi).
''Tetapi bagaimana dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia)? Hingga hari ini (semalam), saya tidak nampak satu surat jawapan rasmi pun dihantar ke kelab Nusa yang mengesahkan pengguguran Rashid terus daripada skuad negara akibat keputusan penarikan dirinya itu.
''Nusa Mahsuri merupakan pertubuhan berdaftar. Kami juga ada protokol, penaung dan presiden. Apakah BAM boleh melayan kami dengan cara begini?'' bidas Misbun.
Misbun menegaskan, yang anehnya ialah Frost sendiri tidak pernah bersemuka dengannya untuk membincangkan soal Rashid itu sejak isu penarikan diri adiknya timbul, minggu lalu.
Harapan Nusa kini tergantung penuh kepada Roslin selaku perseorangan ketiga biarpun anak didik Misbun itu dijangka menghadapi pemain ternama pasukan lawan yang lebih tinggi kedudukan dalam Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).
''Saya sedar lawan Roslin nanti terdiri daripada Ahn Jae Chang, Joko Suprianto dan Dong Jiong yang memang diakui mempunyai kelebihan atas kertas (rekod pertemuan lalu).
''Namun Roslin sentiasa menghargai setiap sen orang ramai yang dipungut ketika mencari wang pampasan RM60,000 untuk melepaskan diri daripada kontrak BAM lalu.
''Mungkin itulah yang terus menjadi tunjang dan pembakar semangat perjuangannya apabila menggantikan tempat Rashid untuk menyumbangkan kejayaan buat skuad negara,'' jelas Misbun.

Rabu, 30 Januari 2019

Terengganu pelawa Misbun


ARKIB : 05/05/2011
sukan@utusan.com.my

Ahmad Said beramah mesra dengan pelumba-pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team pada majlis perasmian pejabat baru pasukan itu di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM
KUALA TERENGGANU - Bekas jurulatih perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek dipelawa menjadi jurulatih akademi badminton yang bakal diwujudkan di negeri ini.

Tawaran itu dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selepas merasmikan pejabat baru pasukan lumba basikal profesional, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) di Bangunan EPIC di sini, semalam.

Ahmad bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum memutuskan mengenai perkara itu tetapi sekadar menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Misbun bagi mengendalikan tugas kejurulatihan di akademi berkenaan.

Buat masa ini, jelasnya, beliau akan meneliti terlebih dahulu perkara itu sebelum perkembangan dan langkah selanjutnya.

"Kita alu-alukan Misbun untuk jadi jurulatih di akademi badminton ini. Kita akan tengok dulu kerana kita tak mahu seolah-olah 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad seterusnya tidak menolak kemungkinan menerima Misbun, jika jaguh badminton negara itu menghubunginya bagi menyatakan persetujuannya untuk menjadi jurulatih.

Kelmarin, Ahmad berkata, kerajaan Terengganu berhasrat mewujudkan akademi badminton di negeri itu untuk melatih pemain dari peringkat usia 12 hingga 18 tahun sebagai pelapis di negeri berkenaan.

Selain itu katanya, penubuhan akademi itu turut bertujuan melahirkan ramai jaguh badminton negara kelahiran Terengganu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e9z4w9bx
© Utusan Melayu (M) Bhd

BAM rugi tanpa Misbun


ARKIB : 04/05/2011
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my

Ahmad Shabery Cheek (kiri) menerima cenderahati sehelai baju T daripada Datuk Raja Roslan Raja Samah pada Majlis Pra Pelancaran Larian Antarabangsa Ekiden Putrajaya, semalam. – UTUSAN/HANAFI KHAMIS

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Misbun Sidek menolak kontrak baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah satu kerugian buat badminton negara, namun tiada apa yang boleh dilakukan lagi seandainya ‘hati’ jurulatih itu tidak lagi bersama skuad kebangsaan, akui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, semalam.

Ahmad Shabery mengakui, kepakaran yang ada pada Misbun mampu membantu menaikkan pemain-pemain muda negara, malangnya BAM mahupun beliau sendiri tiada kuasa untuk memaksa jurulatih tersebut daripada melaksanakan tugas bersama skuad kebangsaan.

Malah, Ahmad Shabery tidak menolak, Misbun mungkin tidak gembira dengan peranan baru yang diberikan kepadanya iaitu melatih pemain-pemain pelapis dan bukan lagi anak emasnya, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

“Saya belum mendapat laporan daripada BAM (mengenai keputusan Misbun) dan sebenarnya tidak mahu mengulas panjang perkara itu, pada saya walaupun beliau bagus tetapi jika hatinya sudah tidak lagi bersama skuad kebangsan, tiada apa yang boleh dilakukan kerana kita tidak boleh paksa.

“Mungkin Misbun tidak begitu gembira dengan peranan baru yang ditawarkan kepadanya, di mana beliau tidak lagi akan membimbing Lee Chong Wei, sebaliknya akan bekerja dengan pemain pelapis, bagaimanapun saya percaya perkara ini tidak akan menjejaskan program BAM.

“Malah, saya masih berharap mungkin pada masa akan datang, hati Misbun kembali sejuk dan bersedia untuk pulang ke pangkuan skuad kebangsaan, itu tidak mustahil,’’ kata Ahmad Shabery pada sidang akhbar selepas pra-pelancaran Larian Antarabangsa Ekiden Putrajaya 2011 di Menara Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya, semalam.

Ketika ditanya apakah tindakan Misbun menolak tawaran BAM sebagai satu kerugian besar buat badminton negara, Ahmad Shabery berkata, perpecahan sentiasa membawa kerugian kepada sukan, tidak terkecuali dalam isu Misbun.

“Pada saya, apa saja perpecahan akan merugikan sukan, begitu juga dalam soal Misbun, ia lebih kepada merugikan daripada menguntungkan. Namun, saya harap BAM hanya memandang ke depan dan fikirkan cabaran yang lebih besar, bagaimana hendak melahirkan pemain berbakat untuk menggantikan Chong Wei.

“Saya sebenarnya tidak terlalu risau dengan Chong Wei, bagaimana beliau hendak menyiapkan diri untuk menghadapi Sukan Olimpik kerana beliau nampak baik di bawah bimbingan Tey Seu Bock, tetapi yang lebih merisaukan saya adalah pemain yang hendak menggantikan Chong Wei selepas beliau bersara nanti,’’ ujarnya lagi.

Mesyuarat Exco BAM, minggu lalu mengumumkan keputusan mengejut Misbun menolak tawaran kontrak baru sebagai jurulatih kebangsaan, biarpun pada awal bulan lalu beliau telah mengutus surat kepada Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh untuk membatalkan peletakan jawatannya.

Tiada sebarang alasan diberikan oleh Misbun mengapa beliau enggan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, namun dipercayai, skop tugas baru yang diberikan BAM - melatih pemain pelapis dan bukan Chong Wei menjadi faktor utama jurulatih berpengalaman itu menolak tawaran badan badminton kebangsaan itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e9tVdLTb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Misbun mampu jadi bertambah masyhur


ARKIB : 29/04/2011
KUALA LUMPUR - Ahli exco senior Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Sayed Abu Bakar Abdullah semalam menegaskan, beliau tidak faham mengapa Datuk Misbun Sidek menolak kontrak baru yang ditawarkan oleh BAM, kerana menganggap jurulatih itu mampu menjadi lebih masyhur andai berjaya menaikkan seorang lagi pemain sehebat Datuk Lee Chong Wei.

Katanya, Misbun tidak sepatutnya menolak untuk melatih sekumpulan pemain pelapis berbakat yang dikenal pasti sebagai pemain masa depan badminton negara, sebaliknya menyahut cabaran baru itu.

Tegasnya, tawaran yang diberikan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM sangat berpatutan, dengan mengambil kira kemampuan yang dimiliki jurulatih tersebut dan keperluan utama badminton negara ketika ini - ketiadaan pemain pelapis berwibawa.

"Beliau sepatutnya menerima tawaran ini kerana ia merupakan cabaran yang hebat. Kalau beliau berjaya menaikkan pemain-pemain pelapis negara ini menjadi sehebat Datuk Lee Chong Wei, maka beliau akan mencipta nama lebih besar.

"Beliau sudah membuktikan kemampuan dengan menaikkan Chong Wei dan sekarang kita memerlukan jaguh baru yang mampu menggantikan Chong Wei atau menjadi lebih baik daripada itu. Misbun adalah orang paling sesuai untuk melakukan tugas tersebut, beliau ada kepakaran.

"Pada saya, C&T mengemukakan tawaran yang sangat berpatutan dan adil, sayang sekali Misbun enggan menerimanya. Secara peribadi, ia memang mengecewakan saya, kerana saya hanya mahu melihat pembangunan badminton negara berterusan,'' ujar Sayed Abu Bakar.

Sayed Abu Bakar, yang juga Presiden Persatuan Badminton Terengganu turut menambah, tempoh terlalu panjang yang diambil Misbun sebelum membuat keputusan sama ada mahu kembali atau tidak ke pangkuan skuad kebangsaan banyak mempengaruhi fikiran jurulatih senior itu.

Katanya, seandainya Misbun tidak mengambil masa sehingga empat bulan untuk membuat keputusan, mungkin penamatnya tidak seperti sekarang. "Selepas meletakkan jawatan pada 31 Disember lalu, beliau ambil masa yang terlalu lama untuk berfikir dan membuat keputusan. Dalam tempoh berkenaan saya percaya banyak faktor sekeliling yang mempengaruhinya.

"Sepatutnya, beliau tidak perlu menjadikan isu ini meleret terlalu lama. Saya mengharapkan satu kesudahan yang lebih baik daripada ini,'' katanya lagi.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5e95OS2po
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kemelut berakhir dengan kejutan


ARKIB : 29/04/2011
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Penamat gembira yang diharapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) daripada kemelut berpanjangan melibatkan Datuk Misbun Sidek bagaimanapun berakhir dengan kejutan, apabila jurulatih itu menolak tawaran kontrak baru sebagai jurulatih kebangsaan biarpun telah membatalkan keputusan meletak jawatan pada awal bulan ini.

Penolakan tersebut dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh kelmarin tanpa menyatakan alasan di sebalik keputusan itu, namun dipercayai, skop tugas baru yang ditawarkan BAM kepada Misbun antara yang mendorongnya untuk tidak kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.

Dalam tawaran baru yang dicadangkan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM (C&T) pada pertengahan bulan lalu, Misbun tidak lagi akan melatih anak emasnya iaitu jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, sebaliknya diberi cabaran menaikkan sekumpulan pemain-pemain pelapis, termasuk anaknya sendiri, Misbun Ramdan Misbun.

Jurulatih berpengalaman itu turut diberi sasaran melahirkan pemain untuk Sukan Asia 2014 dan Sukan Olimpik 2016, selain ditawar gaji yang lebih baik berbanding sebelumnya: "Gaji baru itu mengambil kira kenaikan harga minyak," ujar Timbalan Presiden BAM, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah, yang mempengerusikan mesyuarat exco di Bukit Kiara, semalam.

Menurut Tengku Kamil, beliau tidak dapat menjelaskan faktor yang mendorong Misbun menolak tawaran BAM kerana jurulatih tersebut langsung tidak membincangkannya dalam surat yang diberi kepada Presiden.

"Namun mengakui ia agak mengejutkan kerana jurulatih itu sendiri yang bertindak membatalkan peletakan jawatan pada awal bulan ini, dan keputusan itu telah diterima majlis BAM.

"Beliau hanya kata menolak tetapi tidak cakap mengapa, jadi kami tidak tahu sebabnya.

"Secara peribadi, ia agak mengejutkan exco kerana pada kami kehadirannya mampu membantu menaikkan pemain muda dan melahirkan pengganti Lee Chong Wei.

"Misbun sudah lama dalam skuad kebangsan, dan dengan adanya beliau, kami boleh sama-sama membangunkan badminton.

"Namun, kami menghormati dan menerima keputusan beliau, malah kami merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sumbangan besar yang telah diberi kepada negara sepanjang di BAM,'' kata Tengku Kamil lagi. Misbun gagal dihubungi untuk mengulas mengenai keputusannya.

Setiausaha BAM, Ng Chin Chai, yang juga pengerusi C&T berkata, badan badminton negara itu tidak bercadang untuk mencari jurulatih baru bagi mengisi peranan yang pada awalnya ditawarkan kepada Misbun, sebaliknya akan kekal dengan struktur sedia ada.

Bagaimanapun beliau tetap akan membawa perkara ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat C&T akan datang kerana barisan jurulatih kebangsaan yang lain mungkin mempunyai pandangan berbeza.

"Ketika ini, saya tidak nampak keperluan untuk mencari jurulatih baru kerana kita boleh meneruskan program sedia ada, tetapi memandangkan keputusan Misbun baru diketahui hari ini, mungkin jurulatih lain mempunyai pandangan mereka dalam hal ini,'' kata Chin Chai.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e94bKrzK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Saya tetap ambil pandangan Misbun - Chong Wei


ARKIB : 24/04/2011
SHAH ALAM - Pemain badminton perseorangan No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata, dia tetap akan mengambil pandangan dan berkongsi pendapat dengan bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek meskipun tidak melatihnya lagi.

Misbun ditawarkan untuk membimbing skuad pelapis oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurut juara All England 2011 itu, sudah pasti dia akan berjumpa Misbun ketika menjalani latihan, jadi untuk pembakar semangat menjelang kejohanan yang akan disertainya dia akan cuba mendapat khidmat nasihat daripada Misbun.

"Saya akan cuba mendapatkan nasihat dan tips daripadanya, jadi saya tidak kisah walaupun siapa jurulatih saya dan tidak lagi bersama Misbun, ini kerana kita semua dalam skuad badminton adalah seperti keluarga," katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kereta Proton Inspira atas kejayaannya memenangi All England tahun ini.

Jelasnya, dalam skuad badminton semua orang saling membantu antara satu sama lain dan dia juga tetap menghormati jurulatih pelapis, Hendrawan dan sering bertukar pandangan dengan bekas juara dunia 2001 itu.

"Saya memang memerlukan pandangan dan nasihat daripada semua jurulatih termasuk Rashid Sidek, saya harap semua mereka ini mampu untuk membantu saya mengekalkan fokus menjelang Kejohanan Dunia.

"Saya hanya memilih kejohanan yang penting sahaja tahun ini berbanding tahun lepas, semuanya adalah sebagai persiapan rapi menjelang buruan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik 2012 London," kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5e6SzxsxJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Misbun mampu lahirkan seorang lagi Chong Wei


ARKIB : 20/04/2011
 
Tiada lagi gandingan Misbun-Chong Wei selepas BAM memberikan jurulatih itu peranan membimbing skuad pelapis.

UTUSAN: Apa pandangan Datuk berhubung tugas baru Misbun?

ZOLKPLES: Kita harus melihat perkara ini dengan positif dan kita harap Misbun menerima tawaran tersebut kerana kepakaran beliau masih diperlukan oleh negara.

Saya juga percaya BAM telah menentukan yang terbaik buat Misbun, malah pemilihan itu juga dibuat hasil perbincangan teliti melalui pendapat ramai dan barangkali termasuk pandangan daripada Tey Seu Bock, Rashid Sidek atau Datuk Lee Chong Wei sendiri.

Langkah BAM menawarkan Misbun untuk melatih skuad pelapis adalah satu yang baik kerana kepakaran beliau amat berguna untuk melahirkan ramai jaguh badminton negara dan saya juga berharap Misbun dapat menerima tanggungjawab tersebut.

Adakah Datuk yakin seorang lagi Chong Wei mampu dilahirkan?

Saya percaya kalau kita gabungkan semua aspek kepakaran, sudah tentu seorang pemain bertaraf dunia mampu dilahirkan.

Paling penting kini adalah bakat yang ada pada pemain itu sendiri, kerana pada masa kini atlet pelapis kita semakin kebelakang. Sebagai contoh suatu ketika dahulu pemain pelapis kita Mohd. Arif Latif mampu menyaingi pemain pelapis China, Chen Long namun kini pemain muda China itu lebih menyerlah berbanding Arif.

Saya juga ada mencadangkan agar anak Misbun, Misbun Ramdan Misbun Sidek diletakkan di bawah bimbingan bapanya, agar pemain muda itu dapat memperoleh sentuhan bapanya sendiri. Ini mungkin boleh meningkatkan prestasi pemain berkenaan.

Bagaimana prestasi skuad pelapis ketika ini?

Mereka masih lagi jauh dan masih banyak yang perlu dilakukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun kini kita ada pemain pelapis seperti Arif, Misbun Ramdan dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang berpotensi untuk mencapai tahap dunia.

Bagi meningkatkan prestasi pemain pelapis ini, apa yang Misbun perlu dilakukan?

Kalau kita tengok dari sudut latihan, memang tidak ada kekurangan kerana badminton antara sukan yang menerima banyak bantuan bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga daripada swasta dan pihak-pihak lain.

Adalah penting pemain sendiri perlu percaya pada diri sendiri bahawa mereka mampu bersaing.

Disiplin di kalangan pemain pelapis juga harus dipertingkatkan. Mereka perlu lebih serius dan selain itu pendedahan juga perlu lebih banyak diberikan kepada pemain pelapis yang berpotensi untuk melangkah jauh.

Jangkaan Datuk berapa lama kita dapat melahirkan pemain seperti Chong Wei?

Pada pandangan saya mungkin dalam tempoh dua tahun kita mampu lahirkan pemain sehebat Chong Wei melalui sentuhan Misbun dan jurulatih lain yang ada.

Dahulu kita mempunyai ramai pemain perseorangan namun kurang pemain beregu bagaimanapun kini keadaan itu seolah-olah terbalik. Harapan saya sewajarnya masalah itu mampu diatasi.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5e6KLE58x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Misbun mampu selesai krisis


ARKIB : 20/04/2011
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -- Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata, beliau bukan masalah utama dalam badminton negara ketika ini, sebaliknya masalah kritikal yang sedang dialami Malaysia adalah ketiadaan pelapis berwibawa dan tugas yang diberikan kepada Datuk Misbun Sidek untuk menaikkan bakat-bakat muda mampu membantu menyelesaikan krisis tersebut.

Tegas Chong Wei, walaupun ketika ini tumpuan terarah kepada pemburuan pingat emas Sukan Olimpik 2012 yang digalas olehnya, namun persoalan siapa yang boleh menggantikannya apabila beliau bersara nanti adalah lebih penting untuk difikirkan, pada ketika pemain muda yang dimiliki negara sekarang jauh daripada meyakinkan.

Pengalaman bekerjasama dengan Misbun sejak usia muda menyakinkan Chong Wei bahawa mentornya itu adalah orang yang paling layak untuk menggalas tugas melahirkan lebih ramai jaguh dunia, malah pandangan pemain No. 1 dunia itu turut dikongsi pembantu Misbun sejak sekian lama, Tey Seu Bock.

Chong Wei sendiri adalah contoh terbaik bintang dunia yang berjaya dilahirkan jurulatih berpengalaman itu, malah Misbun turut menaikkan Muhammad Hafiz Hashim daripada pemain yang tiada apa-apa hingga akhirnya muncul juara All England pada 2003.

"Seperti yang pernah saya tegaskan, segala keputusan mengenai siapa yang akan membimbing saya, diputuskan oleh BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sepenuhnya dan saya tidak campur, tetapi apabila mereka memutuskan untuk meletakkan Misbun sebagai jurulatih pelapis, saya mula nampak harapan untuk kita menamatkan masalah ketandusan pemain masa depan.

"Mengenali Misbun, saya tahu beliau mempunyai kepakaran dan kemampuan yang bagus dalam menaikkan bakat-bakat muda, saya yakin beliau mampu memberi suntikan baru kepada badminton negara kerana ketika ini, semua orang menunggu siapa yang akan menjadi pengganti saya apabila saya bersara nanti.

"Bagi diri saya, memburu pingat emas Sukan Olimpik adalah misi penting tetapi pengalaman mengajar saya mengurus persiapan dengan baik, lagipun saya ada jurulatih seperti Seu Bock dan Rashid (Sidek) untuk membantu, bersama mereka, kami mengharungi tiga bulan yang baik setakat ini,'' ujar Chong Wei.

Chong Wei, 29, juara Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia dan All England tahun ini, percaya badminton negara berdepan masalah yang lebih serius daripada sekadar memburu emas Olimpik 2012, iaitu siapa yang akan menggantikannya dan memikul cabaran Malaysia selepas temasya London nanti.

Ketika ini, barisan kedua skuad elit negara seperti Tan Chun Seang, Chong Wei Feng Liew Daren dan Chan Kwong Beng masih terlalu jauh ketinggalan di pentas antarabangsa meskipun sudah diberi banyak pendedahan, ia meletakkan Malaysia dalam masalah besar apabila tiba kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas 2012 atau pada kejohanan yang tidak disertai Chong Wei.

Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM minggu lalu memutuskan Misbun akan melatih sekumpulan pemain muda, yang dibentuk daripada gabungan pemain elit dan pelapis yang kini dikendalikan oleh Hendrawan dengan matlamat melahirkan juara pada Sukan Asia 2014 dan Olimpik 2016.

Hingga kini, tidak diketahui apakah pendirian Misbun mengenai peranan baru yang diberikan kepadanya, namun jika beliau mahu menyahut cabaran melahirkan lebih ramai juara, termasuk menaikkan anaknya sendiri, Misbun Ramdan Misbun menjadi jaguh dunia, maka tawaran yang diberikan oleh BAM ini tidak harus ditolak. Kedudukan Misbun hanya akan diketahui apabila exco BAM bermesyuarat pada 28 April ini.

"Saya amat menghormati Misbun sebagai jurulatih yang berkemampuan menaikkan pemain-pemain muda menjadi jaguh dunia. Dulu, dalam tempoh satu tahun setengah, beliau berjaya membawa Hafiz muncul juara All England pada 2003, kemudian beliau menaikkan Chong Wei menjadi pemain No. 1 dunia.

"Saya rasa situasi ketika ini, BAM amat terdesak untuk mencari pengganti kepada Chong Wei kerana sekarang tiada pemain yang dilihat benar-benar mampu diketengahkan, jadi Misbun dipilih untuk menggalas tugas yang berat dan saya rasa, beliau punyai kemampuan untuk melakukannya.

"Bagi saya pula, setakat ini belum ada hitam putih daripada CTC mengenai skop tugas saya, dan sehingga itu saya akan terus melatih Chong Wei bersama Rashid tetapi mengenai pemain lain, kami belum membuat perancangan kerana kita belum tahu siapakah pemain yang akan ikut Misbun dan siapa yang kekal,'' kata Seu Bock.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e6G35bf8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Misbun bukan untuk Chong Wei


ARKIB : 17/04/2011
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Datuk Misbun Sidek bakal kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, namun kepulangannya bukan untuk Datuk Lee Chong Wei, sebaliknya beliau diberi cabaran baru, melahirkan pengganti jaguh No. 1 dunia itu dengan sasaran adalah Sukan Asia 2014 dan Sukan Olimpik 2016.

Keputusan tersebut dicapai oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam mesyuaratnya semalam, yang memutuskan Misbun akan membimbing sekumpulan pemain pelapis yang belum dikenal pasti, pada ketika Chong Wei pula kekal di bawah bimbingan Tey Seu Bock dan Rashid Sidek sehingga tamat Sukan Olimpik London 2012.

Bermakna, permintaan jurulatih berpengalaman itu untuk membimbing anaknya, Misbun Ramdan Misbun, antara punca beliau meletakkan jawatan sebelum ini, hampir akan dikabulkan oleh BAM.

Namun, butiran terperinci mengenai siapa pelatih yang bakal bernaung di bawah beliau hanya akan diputuskan selepas mesyuarat exco 28 April ini.

"Kami mencadangkan Misbun mengendalikan skuad campuran, gabungan pemain elit dan pelapis. Kita belum menentukan senarai pelatih yang akan berada di bawah beliau, tetapi yang pasti beliau tidak akan bekerja secara langsung dengan Lee Chong Wei.

"Keputusan ini dicapai selepas mendapatkan pandangan daripada semua rakan kongsi BAM iaitu barisan jurulatih kebangsaan, Lee Chong Wei dan MSN (Majlis Sukan Negara), namun ia perlu diluluskan oleh exco yang bermesyuarat minggu depan," kata Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai, yang mempengerusikan mesyuarat hampir tiga jam di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Chin Chai berkata, Misbun sudahpun dijelaskan mengenai skop baru tugasnya apabila kembali ke skuad kebangsaan dan jurulatih itu menyambut cabaran tersebut dengan baik biarpun hingga hari ini belum menjawab kontrak baru yang diserahkan oleh BAM, minggu lalu.

"Kami sudah beritahu Misbun mengenai skop tugasnya nanti dan beliau menerima dengan baik. Pemilihan pemain yang akan dibimbingnya bakal dibuat secara bersama. Kami sudah berbincang dengan jurulatih lain, termasuk Hendrawan mengenai kemungkinan menyerahkan pemain mereka dan semua menerimanya dengan baik kerana ia adalah demi kepentingan negara.

"Pemilihan pemain, bergantung kepada kesesuaian corak permainan dan beberapa kriteria. Mungkin akan ada satu atau dua pemain skuad elit berada di bawah Misbun bersama pemain pelapis, tetapi mungkin juga tidak, namun siapapun yang akan dipilih, ia sama sekali tidak akan menganggu atau merubah struktur kejurulatihan kebangsaan," kata Chin Chai lagi.

Selain Chong Wei, terdapat empat lagi pemain elit yang dikendalikan Seu Bock dan Rashid iaitu Tan Chun Seang, Chong Wei Feng, Chan Kwong Beng dan Liew Daren, manakala ada sembilan pemain pelapis yang dilatih Hendrawan, iaitu Mohd. Arif Latif, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Fang Yang, Muhd. Syawal Ismail, Misbun Ramdan Misbun Sidek, Loh Wei Sheng, Kuan Kam Chung, Goh Soon Huat dan Tew Gee Chong.

Dalam perkembangan lain, BAM sudah menyerahkan surat tawaran kepada ratu badminton negara, Wong Mew Choo untuk menjadi jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bagi menggantikan Chi Zhangrong yang dinaikkan sebagai jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, mengisi kekosongan Wong Tat Meng. Zhangrong akan membawa bersama dua pemainnya, Sonia Chia dan Yang Li Lian.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e67JWLs1
© Utusan Melayu (M) Bhd