Khamis, 30 November 2017

Misbun dapat imbuhan RM60,000


 

ARKIB : 26/08/2008
KEJAYAAN Lee Chong Wei (kiri) dikongsi oleh jurulatihnya, Misbun Sidek dengan ganjaran RM60,000 yang bakal diterima daripada MSN ekoran kejayaan mereka membawa pulang pingat perak Olimpik baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Jurulatih badminton negara, Misbun Sidek akan menerima ganjaran wang tunai RM60,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) atas kejayaannya melatih pemain kebangsaan, Lee Chong Wei sehingga berjaya merangkul pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing baru- baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, ganjaran tersebut merupakan penghargaan dan insentif kementerian kepada Misbun yang berjaya menggilap bakat Chong Wei.

"Kita akan serahkan ganjaran tersebut tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen semalam.

Mengenai gelaran Datuk pula yang akan dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Melaka, Ismail berkata, Misbun layak menerimanya mengambil kira jasa beliau kepada negara.

''Begitu juga dengan Chong Wei yang akan menerimanya daripada Kerajaan Pulau Pinang.

''Bukan senang nak dapat pingat di Olimpik. Kita sudah 12 tahun 'kehausan' pingat dan sudah berapa lama bendera Malaysia tidak berkibar di sukan terbesar itu jadi saya rasa ia memang berbaloi," katanya.

Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini mengumumkan akan menganugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada Misbun manakala Pulau Pinang menganugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) kepada Chong Wei.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak menafikan ada pihak yang mempertikaikan gelaran Datuk yang diberikan kepada Chong Wei tetapi ia adalah hak kerajaan negeri terbabit.

''Ini adalah anugerah jadi terserah kepada kerajaan negeri. Ia bukan diberikan tanpa sebab tetapi berdasarkan kepada sumbangan bernilai oleh rakyat Malaysia," katanya.

Mengulas pencapaian atlet Malaysia pada Olimpik Beijing yang baru melabuhkan tirainya kelmarin, Ismail berkata, kementerian positif terhadap perkembangan mereka sepanjang sukan itu berlangsung.

''Bagi mereka yang tidak menunjukkan prestasi terbaik, kita akui memang kecewa tetapi kita dari awal lagi tidak meletakkan impian besar untuk menang di Olimpik. Kalau atlet itu berjaya memperbaiki rekod, itu satu perkembangan baik," katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zwcC7Oxk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Misbun wajar terima 'Datuk' - Jalani

ARKIB : 25/08/2008
 
misbun sidek (kiri) bukan sahaja melatih Lee Chong Wei tetapi juga sering memberi semangat untuk anak didiknya itu mencapai kejayaan.

KUALA LUMPUR - Dengan sumbangannya membantu Malaysia merangkul dua pingat Olimpik, malah pernah menjadi pemain digeruni, gelaran Datuk yang diterima jurulatih badminton negara, Misbun Sidek, merupakan satu penghormatan yang wajar, kata pemenang pingat gangsa Olimpik 1992, Jalani Sidek.

Jalani, yang juga adik kepada Misbun turut melihat penghormatan yang diterima abangnya itu merupakan pengiktirafan buat badminton, kerana ia menyusul beberapa hari selepas Lee Chong Wei menerima gelaran yang serupa daripada kerajaan Pulau Pinang dan bulan lalu, bekas jaguh beregu, Ng Boon Bee menerima gelaran Datuk daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Misbun, 48, yang dilahirkan di Banting, Selangor bakal dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) daripada kerajaan Negeri Melaka yang akan membawa kepada gelaran Datuk pada Khamis ini.

"Pada zamannya sebagai pemain, Misbun seorang yang gigih dan telah menempa nama sebagai lawan digeruni. Bila menjadi jurulatih, beliau berjaya membawa pemainnya ke peringkat tertinggi dengan memenangi dua pingat Olimpik. Jadi saya fikir beliau memang berhak mendapat pengiktirafan ini.

"Malah, sumbangan Misbun kepada badminton tanah air tidak sekadar melatih Lee Chong Wei dan pemain kebangsaan lain, beliau juga aktif membantu pembangunan pemain di peringkat akar umbi. Hari ini (semalam) beliau berada di Pulau Pinang menganjurkan klinik badminton untuk kanak-kanak walaupun sedang sibuk,'' kata Jalani.

Sebagai jurulatih, selain telah membawa Chong Wei memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing, Misbun juga pernah membimbang adiknya, Rashid Sidek meraih gangsa di Temasya Atlanta 1996.

Misbun juga adalah orang yang bertanggungjawab membawa Muhammad Hafiz Hashim merangkul gelaran Seluruh England 2003, pernah membawa Roslin Hashim bergelar pemain nombor satu dunia pada 2001, malah pernah menjadikan Chong Wei pemain nombor satu.

Sebagai pemain pula, beliau adalah juara kebangsaan 1981, 1982, 1983, 1984, 1986 dan 1987, pernah memenangi emas Sukan SEA Manila 1981, selain pernah menjuarai kejohanan terbuka seperti Terbuka Singapura, Taiwan, Jerman, Sweden dan Kanada.

Dilahirkan di Kancung Darat, Banting pada 17 Februari, 1960, Misbun juga merupakan naib juara Piala Dunia 1982, naib juara Seluruh England 1986 dan membawa cabaran Malaysia ketika muncul naib juara Piala Thomas 1988.


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zvpYcV8M

© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlawanan amal buat Misbun


 

ARKIB : 22/08/2008
Ismail Sabri Yaakob melawat isteri Misbun Sidek, Latifah Sidek yang menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Terhutang budi dengan sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan Misbun Sidek, Lee Chong Wei merancang untuk mengadakan perlawanan amal buat jurulatihnya.

Katanya, perlawanan itu bertujuan untuk mengutip derma bagi mengurangkan beban jurulatihnya, yang kini sedang berdepan detik sukar, di mana isterinya sedang menderita sakit buah pinggang.

Isteri Misbun, Latifah Sidek memerlukan kos rawatan dianggarkan RM150,000 di China.

Menurut pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing itu, dia bercadang untuk mengadakan perlawanan di Pulau Pinang, namun masih belum memutuskan tarikh dan lokasi pertandingan.

"Saya amat terhutang budi dengan sumbangan dan pengorbanan besar yang dicurahkan oleh Misbun selama ini, jadi saya mahu membantunya dengan cara saya.

"Mungkin dengan mengadakan perlawanan pertunjukan dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung, saya sedang merancangnya dan harap ia dapat dilaksanakan dalam beberapa hari ini sebelum saya bercuti,'' kata Chong Wei, yang turut menyumbangkan RM5,000 untuk mangsa gempa bumi di wilayah Sichuan, China.

Menurut Chong Wei, dia merancang untuk membawa keluarga bercuti ke luar negara bagi merehatkan diri selepas bertahun-tahun mengharungi jadual pertandingan yang padat, terutama dalam persiapan menghadapi Olimpik.

Namun, dia hanya akan meneruskan hasrat tersebut selepas menyelesaikan beberapa perkara penting di tanah air, termasuk mengadakan perlawanan buat Misbun.

Semalam, Chong Wei turut mengiringi lawatan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong melawat isteri Misbun, Latifah Sidek di hospital.

Ismail Sabri ketika bercakap kepada Bernama berkata, mengumumkan derma sebanyak RM50,000 daripada tabung Yayasan Kebajikan Atlet untuk membantu Latifah.

Sumbangan RM50,000 itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk membantu isteri Misbun mendapatkan rawatan pemindahan buah pinggang yang mungkin dilakukan di China dalam masa terdekat, katanya.

Ismail Sabri berkata, kementerian tidak pernah mengabaikan kebajikan anggota keluarga atlet dan jurulatih.

Mengenai ganjaran kepada Misbun yang berjaya melatih Chong Wei sehingga menggenggam pingat perak Olimpik, Ismail Sabri berkata, jurulatih itu akan mendapat 20 peratus atau RM60,000 daripada jumlah RM300,000 yang diperoleh Chong Wei, sebagai ganjaran daripada MSN.

"Tanpa jurulatih, atlet tidak akan berjaya begitu juga kejayaan Chong Wei merangkul perak di Sukan Olimpik Beijing adalah hasil tunjuk ajar jurulatihnya, Misbun," katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zubxTiMf

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 29 November 2017

Misbun lega atlet dapat sesuaikan diri

ARKIB : 07/08/2008
BEIJING - Jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek gembira apabila menjejakkan kaki di gelanggang latihan, semalam selepas mendapati kedua-dua anak didiknya, Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sini menjelang Sukan Olimpik.

Misbun berkata, kedua-dua mereka nampak baik dan cepat menyesuaikan keadaan sekalipun gelanggang latihan agak jauh dari perkampungan Sukan Olimpik, malah 'mood' kedua-duanya juga begitu memberangsangkan ketika memasuki gelanggang untuk menjalani latihan.

''Setakat ini mereka nampak baik dan cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran. Persiapan kedua-duanya juga pada tahap yang baik dan saya tidak bimbang dengan keadaan itu.

''Cuma apa yang saya khuatir ialah kecederaan di luar kawalan.

"Saya telah menasihati mereka agar sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan yang boleh menjejaskan persembahan," kata Misbun ketika ditemui di sebuah pusat latihan swasta di daerah Chaoyang, kira-kira 45 minit perjalanan dari sini, semalam.

Menyentuh mengenai strategi Chong Wei yang akan menentang pemain Singapura, Ronald Susilo pada pertemuan pertamanya, Misbun memberitahu, perkara itu tidak dapat ditentukan ketika ini kerana lazimnya pemain sendiri akan tahu apa yang perlu dilakukan semasa menentang lawannya.

''Saya rasa mungkin Chong Wei akan bermain secara psikologi yang sebelum ini berjaya menewaskan pemain utama China, Lin Dan dalam Kejohanan Piala Thomas di Jakarta lalu," ujar Misbun.

Jika mengatasi Ronald, laluan Chong Wei dianggap mudah selepas itu kerana menanti pada pusingan berikutnya ialah pemenang antara pertemuan Stanislav Pukhov dari Rusia yang akan melawan pemenang pertemuan pemain Lithuania, Kestutis Navickas dengan Pablo Abian dari Sepanyol.

Jika ada halangan sekalipun mungkin pertemuan di suku akhir yang menyaksikan perebutan antara pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dengan Boonsak Ponsana dari Thailand.

- Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zsz7dkt9

© Utusan Melayu (M) Bhd

MENJELANG OLIMPIK: Misbun harap doa rakyat Malaysia

ARKIB : 02/08/2008
KUALA LUMPUR – Jurulatih badminton perseorangan negara, Misbun Sidek mengharap sokongan padu semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum untuk skuad badminton negara bertanding di Sukan Olimpik Beijing, lapor HISYAMUDDIN AYUB.

Katanya, hanya sokongan yang tidak berbelah bagi daripada rakyat negara ini akan membantu skuad negara mencipta kegemilangan di sana nanti.

“Kami benar-benar mengharapkan sokongan daripada rakyat Malaysia. Kami mungkin tidak akan menerima sokongan dari segi kewangan dan kehadiran di Beijing nanti.

“Tetapi, sokongan ikhlas orang ramai menerusi doa yang dikirimkan kepada kami di sana nanti pastinya akan sedikit sebanyak membantu kami mencipta kejayaan cemerlang.

“Sumbangan doa adalah sumbangan yang paling ikhlas diberikan oleh peminat-peminat sukan negara,” katanya di sini semalam.

Pasukan badminton negara akan berlepas ke Beijing Selasa ini.

Misbun berkata, segala persiapan telah dilakukan sebelum ini termasuk persediaan dari segi fizikal dan mental.

Jelasnya, persediaan ke Sukan Olimpik Beijing adalah lebih baik daripada persiapan yang dilakukan untuk Sukan Olimpik Athens, empat tahun lalu.

Katanya, semua cabaran telah berjaya dilalui dan dia kini menyerahkan segalanya kepada pemain untuk melaksanakan apa yang telah dipelajari oleh mereka sebelum ini.

“Ini adalah peluang terbaik mereka untuk membuktikan sesuatu kepada negara.

“Selain itu, ia juga menjadi landasan terbaik kepada semua atlet sukan negara untuk membuktikan bahawa sukan bukanlah satu bidang yang tidak boleh memberi peluang pekerjaan dan rezeki lumayan kepada sesiapa yang menceburinya,” katanya yang merujuk kepada pemberian insentif RM1 juta kepada pemenang pingat emas sukan Olimpik di Beijing.

Selain mendapat insentif lumayan tersebut, atlet tersebut juga layak mendapat pencen sebanyak RM5,000.00 seumur hidup daripada kerajaan.

Ditanya mengenai sasaran di Sukan Olimpik Beijing, beliau berkata, dia tidak mempunyai sebarang sasaran dan hanya mahu semua pemain bermain dengan baik.

Jelasnya, dengan hanya beraksi dengan persembahan yang konsisten sahaja boleh membantu atlet mencipta kejayaan cemerlang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4zovT5F3u

© Utusan Melayu (M) Bhd

Misbun gundah gara-gara 'mood'

ARKIB : 26/07/2008
Oleh SYED HESHAM IDRIS
KUALA LUMPUR - Jurulatih badminton perseorangan negara, Misbun Sidek yakin anak didiknya, Lee Chong Wei cukup bersedia untuk cemerlang di Sukan Olimpik Beijing, bulan depan.

Cuma, Misbun masih risau tentang 'mood' pemain itu kerana jika tidak dikawal, ia boleh menjejaskan harapan negara untuk meraih pingat emas pertama di Olimpik.

Menurut Misbun, beliau tidak bimbang dengan tahap kecergasan, aspek teknikal dan taktikal Chong Wei yang setanding pemain lawan, namun 'mood' pemain itu diharap tidak terjejas.

Katanya, terserah kepada pemain itu bagaimana untuk memastikan 'mood' yang baik apabila turun beraksi di gelanggang kelak.

''Memang 'mood' Chong Wei sesuatu yang membimbangkan saya. Ini kerana jika 'mood' dia tidak baik, dia akan bermain mengikut emosi.

''Dalam keadaan 'mood' yang tidak baik, bagaimana dia dapat beraksi dengan baik?

''Inilah (mood) yang mencetuskan kebimbangan dan saya harap tiada perkara yang menggugat 'mood' pemain sewaktu di Beijing nanti,'' katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Kontinjen Malaysia Ke Sukan Olimpik Beijing di Istana Negara, semalam.

BerubahTambah Misbun, 'mood' seseorang pemain tidak dapat dikawal oleh sesiapa termasuk dirinya sebagai jurulatih.

Malah, katanya, 'mood' pemain boleh berubah kerana ia mudah tercetus akibat sebab yang kecil dan remeh.

''Pada masa ini saya lebih bimbangkan keadaan di luar daripada dalam gelanggang kerana lazimnya turun naik 'mood' pemain kerap bermula di luar gelanggang.

''Jika sudah tiada 'mood' di luar gelanggang, ia akan dibawa ke dalam permainan dan ketika itu sudah pasti pemain tidak dapat menumpukan perhatian terhadap permainannya.

''Jika itu berlaku kelak, saya anggap ia sesuatu yang sia-sia dan merugikan kerana kita telah bersiap sedia untuk temasya sukan ini sejak empat tahun lalu,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky berkata, secara keseluruhan para pemain badminton negara sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik di Beijing.

Katanya, para pemain sudah melepasi latihan fasa berat selama kira-kira tiga bulan.

''Menjelang dua minggu lagi Sukan Olimpik, kita menukar corak latihan lebih kepada latihan ringan bagi meredakan tekanan.

''Sebab itu pada tahap ini saya bersikap terbuka dengan meminta mereka melakukan perkara positif mengikut kehendak sendiri dengan tujuan menghindarkan sebarang tekanan,'' katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4znvYZIdQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 November 2017

Hafiz tidak garang - Misbun

ARKIB : 17/05/2008
JAKARTA - Satu anak buahnya mengutip mata sulung, satu lagi memberikan mata kekalahan, situasi yang meletakkan jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek dalam keadaan bercampur baur sejurus Malaysia kalah 2-3 kepada China dalam separuh akhir Piala Thomas, semalam.

Buat seketika Misbun mengakui amat puas selepas Lee Chong Wei menumbangkan juara dunia, Lin Dan untuk membolehkan Malaysia memulakan saingan dengan langkah kanan.

Bagaimanapun, Muhammad Hafiz Hashim gagal memberikan cabaran yang baik kepada Chen Jin - permainan yang dianggap Misbun tidak cukup garang hingga menyerahkan mata kemenangan.

"Saya cukup berbelah bagi ketika ini. Gembira dengan prestasi Chong Wei tetapi kecewa dengan persembahan Hafiz. kedua-dua pemain membawa pengaruh yang berbeza kepada pasukan.

"Chong Wei meletakkan kita dalam kedudukan yang baik untuk mengalahkan China tetapi Hafiz pula menyerahkan kekalahan kepada China. Saya percaya, ia bukan soal fizikal dan prestasi semata-mata tetapi lebih kepada mentaliti pemain itu.

"Kekalahan Hafiz bukan sesuatu yang mengejutkan kerana dia memang tidak mempunyai rekod yang baik ke atas Chen Jin tetapi saya mengharapkan dia dapat memberi tentangan yang lebih baik, bermain dengan lebih agresif dan sedikit garang," kata Misbun.

Hafiz, pemain ranking ke-22 dunia gagal memenangi kesemua empat pertemuannya dengan Chin Jin sebelum ini dan kekalahan semalam, melebarkan rekod kepada 0-5.

Chong Wei pula hanya menang tiga daripada 11 pertemuan dengan Lin Dan sebelum ini, namun, semalam dia mempamerkan permainan taktikal yang bijak untuk menundukkan Lin Dan.

Sementara itu, Hafiz berkata, dia sudah memberikan permainan terbaik, namun Chen Jin jelas pemain yang lebih baik daripadanya.

"Chen Jin berjaya mematahkan dan mengangkat kebanyakan pukulan saya, pertahanannya amat baik dan membuatkan saya hilang punca seketika.

''Saya cuba pelbagai pukulan, ke belakang gelanggang, bermain di jaring hingga ke sudut gelanggang, tetapi dia boleh menjawab.

- Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWNh5Jjt

© Utusan Melayu (M) Bhd

Misbun ditimpa malang

ARKIB : 10/05/2008
Nasib jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga', sudahlah berdepan masalah peribadi sebelum datang ke Jakarta, pada hari pertama latihan pasukan negara semalam dia ditimpa musibah lagi.

Kali ini jurulatih itu kehilangan AS$$400 (RM1,280) selepas beg duitnya dikebas pencuri ketika sedang melatih pemain pada sesi latihan pertama Malaysia di Stadium Istora, Senayan.

Walaupun tidak habis-habis ditimpa malang, namun Misbun tetap tenang dan masih mampu memberi tumpuan kepada latihan pemainnya yang bakal berdepan ujian getir apabila kempen Piala Thomas dan Uber memulakan cabarannya esok.

Buat Misbun, kami berharap beliau bersabar dan berharap satu demi satu masalah yang dialami ini mempunyai rahmat tersembunyi, dan kita berdoa Malaysia akan pulang bersama kejuaraan pertama selepas 16 tahun.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4zRtB5KIl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Misbun sasar kejuaraan kedua selepas 29 tahun

ARKIB : 07/05/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
KUALA LUMPUR - Sepanjang tempoh 29 tahun bergelar pemain dan jurulatih badminton, Misbun Sidek hanya pernah mendakap kejuaraan Piala Thomas sekali - pada 1992 di Kuala Lumpur.

Selepas tiga dekad membawa cabaran Malaysia pada kejohanan berpasukan prestij itu, menjulang hanya satu kejuaraan nyata tidak cukup memberi kepuasan.

Malah, kejuaraan yang kali terakhir dimenangi Malaysia juga sudah terlalu lama - 16 tahun lalu, dan Misbun berharap kemarau yang panjang itu mampu diakhiri di Indonesia.

"Kalau diikutkan ini merupakan Piala Thomas ke-29 buat saya, sama ada sebagai pemain atau jurulatih dan dalam tempoh tersebut saya hanya menang sekali pada 1992.

"Untuk karier yang sudah begitu panjang, hanya menang sekali memang tidak cukup, tetapi inilah Piala Thomas. Ia bukan kejohanan yang mudah untuk dimenangi, sukar diramal dan apa saja boleh berlaku.

"Bagaimanapun secara peribadi, saya mempunyai perasaan yang cukup baik tentang peluang kita kali ini, perasaan yang sama seperti 1992. Mungkin semangat dan keazaman tinggi yang ditunjukkan pemain mewujudkan perasaan ini,'' kata Misbun.

Kali pertama Misbun berada dalam skuad Piala Thomas Malaysia adalah pada 1979 sebagai pemain simpanan, namun penampilan pertama itu meninggalkan kenangan yang pahit buatnya.

Malaysia gagal melayakkan diri ke pusingan akhir di Jakarta selepas dikejutkan dengan kekalahan 4-5 kepada India pada kelayakan zon Asia yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Pada 1992, dia bertindak sebagai jurulatih kepada adiknya, Rashid Sidek dan Foo Kok Keong, kedua-dua pemain ini telah menyumbangkan mata berharga yang membawa kepada kemenangan bersejarah Malaysia.

Dua anak didik Misbun turut menggalas tanggungjawab negara pada kejohanan kali ini, Lee Chong Wei sebagai perseorangan pertama dan Muhammad Hafiz Hashim ketiga.

Seperti 1992, dia berharap kedua-dua pemain berpengalaman ini mampu menyumbangkan mata maksimum yang diperlukan oleh pasukan negara untuk membawa pulang kejuaraan.

"Saya juga memastikan Mohd. Arif (Abdul Latif) bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa apabila diperlukan, dia pemain yang kental mentalitinya dan mampu menggalas tugas dengan baik,'' kata Misbun.

Selain membimbing Chong Wei, Hafiz dan Arif, Misbun juga mempunyai tanggungjawab besar bersama skuad Piala Uber, di mana dia adalah mentor kepada perseorangan utama negara, Wong Mew Choo.

"Permainan Mew Choo bertambah baik selepas Kejohanan Asia, kita cuma berharap dia terlepas daripada sebarang kecederaan.

"Kalau keadaan fizikalnya sangat baik, saya percaya dia boleh diharapkan untuk mengutip mata pertama Malaysia.

"Hari ini, saya tengok dia agak keletihan kerana baru pulang dari kem bina semangat di Port Dickson tetapi ia tidaklah serius,'' katanya lagi.

Skuad Piala Thomas dan Uber negara akan berlepas ke Jakarta esok, sebelum memulakan kempen dengan menentang England dan New Zealand, Ahad ini
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zRnlWvTM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kritikan tidak 'bunuh' semangat pemain - Misbun

ARKIB : 29/04/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
KUALA LUMPUR - Jurulatih badminton kebangsaan, Misbun Sidek (gambar) berkata, pemain Malaysia ibarat 'harimau luka' yang cuba bangkit daripada prestasi buruk dan memburu kejuaraan pada pusingan akhir Piala Thomas bulan depan.

Menurut Misbun, situasi yang melanda kem negara ketika ini mengingatkan beliau kepada suasana 1992, yang mana kebanyakan pemain kita turun tanpa harapan tinggi, sebaliknya berdepan kritikan kerana prestasi tidak menentu.

Bagaimanapun, kritikan itu tidak membunuh semangat mereka, sebaliknya menjadi cabaran kepada pemain untuk mengembalikan keyakinan peminat dan membuktikan bahawa mereka tidak seteruk yang sering diperkatakan.

"Ada beberapa pemain yang akan berlepas ke Jakarta dengan perasaan kurang gembira kerana prestasi mereka yang tidak baik, selalu dikritik dan ada berdepan masalah peribadi.

"Ini bukanlah satu perkembangan yang baik tetapi sekurang-kurangnya saya nampak perkara positif lain yang muncul apabila keadaan jadi begini.

"Saya lihat keazaman pemain itu hendak membersihkan imej mereka amat tinggi, mereka tahu Piala Thomas adalah gelanggang yang paling sesuai untuk cuci nama mereka, untuk kembalikan keyakinan orang ramai,'' kata Misbun selepas sesi latihan di Gimnasium II, Bukit Jalil semalam.

Menurut Misbun, pemain seperti Muhammad Hafiz Hashim dan beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong boleh menjadi pencabar paling berbahaya sepanjang kejohanan 11-18 Mei itu.

Katanya, ketiga-tiga pemain tersebut berdepan situasi hampir serupa, mengalami kemerosotan prestasi, masalah peribadi serta dikritik hebat, tetapi mula menunjukkan tanda kebangkitan pada Kejohanan Asia, dua minggu lalu.

"Saya dapat lihat kesungguhan mereka untuk bangkit, tetapi saya harap kesungguhan itu tidak hanya pada sesi latihan sebaliknya dibawa terus pada hari kejohanan. Itu paling penting.

"Hafiz mampu menjadi perseorangan ketiga paling berbahaya kalau dia mampu mencapai permainan terbaiknya, dia adalah pemain yang amat berbakat tetapi sering dihimpit masalah peribadi dan kecederaan.

Masalah kecederaan"Saya percaya, Malaysia masih mempunyai beregu yang mantap walaupun prestasi pasangan negara sering dikritik akhir-akhir ini, pemain seperti Kien Keat-Boon Heong pasti mahu menggunakan Piala Thomas untuk menebus kesilapan,'' katanya.

Menurut Misbun, Malaysia bukanlah pasukan pilihan ketika menjuarai Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1992, sebaliknya Indonesia ketika itu menjadi calon utama kejuaraan kerana memiliki barisan pemain yang hebat.

Gergasi badminton dunia itu menurunkan juara dan naib juara Olimpik 1992, Alan Budi Kusuma dan Ardy Wiranata di samping juara dunia 1993, Joko Suprianto dalam perseorangan.

Pemenang pingat emas Olimpik 1992, Eddy Hartono-Rudy Gunawan dan juara Olimpik 1996 serta juara dunia 1995, Rexy Mainaky-Ricky Subagja pula menguatkan cabaran beregu negara itu.

Bagaimanapun, keazaman yang tinggi untuk menjulang piala mendorong Rashid Sidek menumbangkan Ardy dalam perseorangan pertama, Foo Kok Keong menewaskan Alan dalam perseorangan kedua manakala Chean Soon Kit-Soo Beng Kiang mengejutkan Ricky-Rexy untuk mengutip mata kemenangan.

Kini selepas 16 tahun berlalu, rakyat Malaysia berharap kemarau panjang itu akan berakhir dan Misbun mengakui, banyak rintangan bakal menanti di Jakarta nanti, namun semuanya tidak mustahil jika pemain negara mempamerkan aksi terbaik dan keinginan tinggi.

Sementara itu, China, Korea Selatan, Denmark dan tuan rumah, Indonesia menjadi halangan terbesar Malaysia untuk memburu kejuaraan Piala Thomas selepas membariskan pasukan terbaik.

China menyenaraikan juara dunia, Lin Dan, juara Seluruh England, Chen Jin, pemain nombor empat dunia, Bao Chunlai dan Chen Yu dalam perseorangan manakala cabaran beregu diketuai Fu Haifeng- Cai Yun dan Xie Zhongbo-Guo Zhendong.

Korea pula menampilkan juara baru Asia, Park Sung Hwang, Lee Hyun Il, Shon Seung Mo dan Hong Ji Hoon bersama dua beregu handalan, Jung Jae Jing-Lee Yong Dae dan Hwang Ji Man-Lee Jae Jin.

Gergasi Eropah, Denmark membariskan Kenneth Jonassen, Peter Gade, Joachim Persson dan Jan O Jorgensen dalam perseorangan, manakala beregu diwakili Jonas Rasmussen-Lars Paaske, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dan Carsten Mogensen-Mathias Boe.

Juara Olimpik, Taufik Hidayat menerajui perseorangan Indonesia bersama naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro, Simon Santoso dan Tommy Sugiarto, sementara juara dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan mengetuai saingan beregu.

Sementara itu, penyandang juara, China membuat kejutan dengan menggugurkan juara Olimpik dan pemain nombor dua dunia, Zhang Ning daripada skuad Piala Uber.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4zRLaxnQR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 November 2017

Mew Choo kembali kepada Misbun



 ARKIB : 10/04/2008

KUALA LUMPUR - Ratu badminton negara, Wong Mew Choo membuat kejutan besar apabila bertindak kembali ke pangkuan jurulatih lamanya, Misbun Sidek.

Walaupun mempamer peningkatan besar sepanjang tiga tahun dibimbing oleh Wong Tat Meng, termasuk menjuarai Terbuka China 2007, namun Mew Choo memerlukan sentuhan Misbun untuk berada di tahap terbaik bagi Olimpik Beijing.

Tindakan Mew Choo ini mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei apabila dia juga meninggalkan Tat Meng untuk menyertai Misbun, tahun lalu.

Bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mereka merestui keputusan Mew Choo jika itu adalah yang terbaik dan mampu meningkatkan prestasinya menjelang Sukan Olimpik.

"Mew Choo mengemukakan permohonan untuk kembali kepada Misbun dua minggu lalu, selepas mengadakan perbincangan dengan semua jurulatih, kami bersetuju membenarkan dia berlatih bersama Misbun sehingga Sukan Olimpik. Dia percaya pendekatan dan sistem latihan yang diterapkan oleh Misbun mampu memberi manfaat kepadanya untuk memperbaiki prestasi menjelang Olimpik dan kami pula hanya mahukan yang terbaik,'' kata ketua jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yrtNqUKJ
© Utusan Melayu (M) Bhd