ARKIB : 07/08/2008
BEIJING - Jurulatih
perseorangan negara, Misbun Sidek gembira apabila menjejakkan kaki di
gelanggang latihan, semalam selepas mendapati kedua-dua anak didiknya, Lee
Chong Wei dan Wong Mew Choo dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sini
menjelang Sukan Olimpik.
Misbun berkata, kedua-dua
mereka nampak baik dan cepat menyesuaikan keadaan sekalipun gelanggang latihan
agak jauh dari perkampungan Sukan Olimpik, malah 'mood' kedua-duanya juga
begitu memberangsangkan ketika memasuki gelanggang untuk menjalani latihan.
''Setakat ini mereka nampak
baik dan cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran. Persiapan kedua-duanya
juga pada tahap yang baik dan saya tidak bimbang dengan keadaan itu.
''Cuma apa yang saya khuatir
ialah kecederaan di luar kawalan.
"Saya telah menasihati
mereka agar sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan yang boleh
menjejaskan persembahan," kata Misbun ketika ditemui di sebuah pusat
latihan swasta di daerah Chaoyang, kira-kira 45 minit perjalanan dari sini,
semalam.
Menyentuh mengenai strategi
Chong Wei yang akan menentang pemain Singapura, Ronald Susilo pada pertemuan
pertamanya, Misbun memberitahu, perkara itu tidak dapat ditentukan ketika ini
kerana lazimnya pemain sendiri akan tahu apa yang perlu dilakukan semasa
menentang lawannya.
''Saya rasa mungkin Chong Wei
akan bermain secara psikologi yang sebelum ini berjaya menewaskan pemain utama
China, Lin Dan dalam Kejohanan Piala Thomas di Jakarta lalu," ujar Misbun.
Jika mengatasi Ronald, laluan
Chong Wei dianggap mudah selepas itu kerana menanti pada pusingan berikutnya
ialah pemenang antara pertemuan Stanislav Pukhov dari Rusia yang akan melawan
pemenang pertemuan pemain Lithuania, Kestutis Navickas dengan Pablo Abian dari
Sepanyol.
Jika ada halangan sekalipun
mungkin pertemuan di suku akhir yang menyaksikan perebutan antara pemain
Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dengan Boonsak Ponsana dari Thailand.
- Utusan
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zsz7dkt9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan