ARKIB : 25/08/2008

misbun sidek (kiri) bukan
sahaja melatih Lee Chong Wei tetapi juga sering memberi semangat untuk anak
didiknya itu mencapai kejayaan.
KUALA LUMPUR - Dengan
sumbangannya membantu Malaysia merangkul dua pingat Olimpik, malah pernah
menjadi pemain digeruni, gelaran Datuk yang diterima jurulatih badminton
negara, Misbun Sidek, merupakan satu penghormatan yang wajar, kata pemenang
pingat gangsa Olimpik 1992, Jalani Sidek.
Jalani, yang juga adik kepada
Misbun turut melihat penghormatan yang diterima abangnya itu merupakan
pengiktirafan buat badminton, kerana ia menyusul beberapa hari selepas Lee
Chong Wei menerima gelaran yang serupa daripada kerajaan Pulau Pinang dan bulan
lalu, bekas jaguh beregu, Ng Boon Bee menerima gelaran Datuk daripada Yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Misbun, 48, yang dilahirkan di
Banting, Selangor bakal dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) daripada
kerajaan Negeri Melaka yang akan membawa kepada gelaran Datuk pada Khamis ini.
"Pada zamannya sebagai
pemain, Misbun seorang yang gigih dan telah menempa nama sebagai lawan
digeruni. Bila menjadi jurulatih, beliau berjaya membawa pemainnya ke peringkat
tertinggi dengan memenangi dua pingat Olimpik. Jadi saya fikir beliau memang
berhak mendapat pengiktirafan ini.
"Malah, sumbangan Misbun
kepada badminton tanah air tidak sekadar melatih Lee Chong Wei dan pemain kebangsaan
lain, beliau juga aktif membantu pembangunan pemain di peringkat akar umbi.
Hari ini (semalam) beliau berada di Pulau Pinang menganjurkan klinik badminton
untuk kanak-kanak walaupun sedang sibuk,'' kata Jalani.
Sebagai jurulatih, selain telah
membawa Chong Wei memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing, Misbun
juga pernah membimbang adiknya, Rashid Sidek meraih gangsa di Temasya Atlanta
1996.
Misbun juga adalah orang yang
bertanggungjawab membawa Muhammad Hafiz Hashim merangkul gelaran Seluruh
England 2003, pernah membawa Roslin Hashim bergelar pemain nombor satu dunia
pada 2001, malah pernah menjadikan Chong Wei pemain nombor satu.
Sebagai pemain pula, beliau
adalah juara kebangsaan 1981, 1982, 1983, 1984, 1986 dan 1987, pernah memenangi
emas Sukan SEA Manila 1981, selain pernah menjuarai kejohanan terbuka seperti
Terbuka Singapura, Taiwan, Jerman, Sweden dan Kanada.
Dilahirkan di Kancung Darat,
Banting pada 17 Februari, 1960, Misbun juga merupakan naib juara Piala Dunia
1982, naib juara Seluruh England 1986 dan membawa cabaran Malaysia ketika
muncul naib juara Piala Thomas 1988.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zvpYcV8M
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan