ARKIB : 17/05/2008
JAKARTA - Satu anak buahnya
mengutip mata sulung, satu lagi memberikan mata kekalahan, situasi yang
meletakkan jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek dalam keadaan bercampur baur
sejurus Malaysia kalah 2-3 kepada China dalam separuh akhir Piala Thomas,
semalam.
Buat seketika Misbun mengakui
amat puas selepas Lee Chong Wei menumbangkan juara dunia, Lin Dan untuk
membolehkan Malaysia memulakan saingan dengan langkah kanan.
Bagaimanapun, Muhammad Hafiz
Hashim gagal memberikan cabaran yang baik kepada Chen Jin - permainan yang
dianggap Misbun tidak cukup garang hingga menyerahkan mata kemenangan.
"Saya cukup berbelah bagi
ketika ini. Gembira dengan prestasi Chong Wei tetapi kecewa dengan persembahan
Hafiz. kedua-dua pemain membawa pengaruh yang berbeza kepada pasukan.
"Chong Wei meletakkan kita
dalam kedudukan yang baik untuk mengalahkan China tetapi Hafiz pula menyerahkan
kekalahan kepada China. Saya percaya, ia bukan soal fizikal dan prestasi
semata-mata tetapi lebih kepada mentaliti pemain itu.
"Kekalahan Hafiz bukan
sesuatu yang mengejutkan kerana dia memang tidak mempunyai rekod yang baik ke
atas Chen Jin tetapi saya mengharapkan dia dapat memberi tentangan yang lebih
baik, bermain dengan lebih agresif dan sedikit garang," kata Misbun.
Hafiz, pemain ranking ke-22
dunia gagal memenangi kesemua empat pertemuannya dengan Chin Jin sebelum ini
dan kekalahan semalam, melebarkan rekod kepada 0-5.
Chong Wei pula hanya menang
tiga daripada 11 pertemuan dengan Lin Dan sebelum ini, namun, semalam dia mempamerkan
permainan taktikal yang bijak untuk menundukkan Lin Dan.
Sementara itu, Hafiz berkata,
dia sudah memberikan permainan terbaik, namun Chen Jin jelas pemain yang lebih
baik daripadanya.
"Chen Jin berjaya
mematahkan dan mengangkat kebanyakan pukulan saya, pertahanannya amat baik dan
membuatkan saya hilang punca seketika.
''Saya cuba pelbagai pukulan,
ke belakang gelanggang, bermain di jaring hingga ke sudut gelanggang, tetapi
dia boleh menjawab.
- Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWNh5Jjt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan