Rabu, 29 November 2017

Misbun gundah gara-gara 'mood'

ARKIB : 26/07/2008
Oleh SYED HESHAM IDRIS
KUALA LUMPUR - Jurulatih badminton perseorangan negara, Misbun Sidek yakin anak didiknya, Lee Chong Wei cukup bersedia untuk cemerlang di Sukan Olimpik Beijing, bulan depan.

Cuma, Misbun masih risau tentang 'mood' pemain itu kerana jika tidak dikawal, ia boleh menjejaskan harapan negara untuk meraih pingat emas pertama di Olimpik.

Menurut Misbun, beliau tidak bimbang dengan tahap kecergasan, aspek teknikal dan taktikal Chong Wei yang setanding pemain lawan, namun 'mood' pemain itu diharap tidak terjejas.

Katanya, terserah kepada pemain itu bagaimana untuk memastikan 'mood' yang baik apabila turun beraksi di gelanggang kelak.

''Memang 'mood' Chong Wei sesuatu yang membimbangkan saya. Ini kerana jika 'mood' dia tidak baik, dia akan bermain mengikut emosi.

''Dalam keadaan 'mood' yang tidak baik, bagaimana dia dapat beraksi dengan baik?

''Inilah (mood) yang mencetuskan kebimbangan dan saya harap tiada perkara yang menggugat 'mood' pemain sewaktu di Beijing nanti,'' katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Kontinjen Malaysia Ke Sukan Olimpik Beijing di Istana Negara, semalam.

BerubahTambah Misbun, 'mood' seseorang pemain tidak dapat dikawal oleh sesiapa termasuk dirinya sebagai jurulatih.

Malah, katanya, 'mood' pemain boleh berubah kerana ia mudah tercetus akibat sebab yang kecil dan remeh.

''Pada masa ini saya lebih bimbangkan keadaan di luar daripada dalam gelanggang kerana lazimnya turun naik 'mood' pemain kerap bermula di luar gelanggang.

''Jika sudah tiada 'mood' di luar gelanggang, ia akan dibawa ke dalam permainan dan ketika itu sudah pasti pemain tidak dapat menumpukan perhatian terhadap permainannya.

''Jika itu berlaku kelak, saya anggap ia sesuatu yang sia-sia dan merugikan kerana kita telah bersiap sedia untuk temasya sukan ini sejak empat tahun lalu,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky berkata, secara keseluruhan para pemain badminton negara sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik di Beijing.

Katanya, para pemain sudah melepasi latihan fasa berat selama kira-kira tiga bulan.

''Menjelang dua minggu lagi Sukan Olimpik, kita menukar corak latihan lebih kepada latihan ringan bagi meredakan tekanan.

''Sebab itu pada tahap ini saya bersikap terbuka dengan meminta mereka melakukan perkara positif mengikut kehendak sendiri dengan tujuan menghindarkan sebarang tekanan,'' katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4znvYZIdQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan