ARKIB : 02/08/2008
KUALA LUMPUR Jurulatih
badminton perseorangan negara, Misbun Sidek mengharap sokongan padu semua
rakyat Malaysia tanpa mengira kaum untuk skuad badminton negara bertanding di
Sukan Olimpik Beijing, lapor HISYAMUDDIN AYUB.
Katanya, hanya sokongan yang
tidak berbelah bagi daripada rakyat negara ini akan membantu skuad negara
mencipta kegemilangan di sana nanti.
Kami benar-benar mengharapkan
sokongan daripada rakyat Malaysia. Kami mungkin tidak akan menerima sokongan
dari segi kewangan dan kehadiran di Beijing nanti.
Tetapi, sokongan ikhlas orang
ramai menerusi doa yang dikirimkan kepada kami di sana nanti pastinya akan
sedikit sebanyak membantu kami mencipta kejayaan cemerlang.
Sumbangan doa adalah sumbangan
yang paling ikhlas diberikan oleh peminat-peminat sukan negara, katanya di
sini semalam.
Pasukan badminton negara akan
berlepas ke Beijing Selasa ini.
Misbun berkata, segala
persiapan telah dilakukan sebelum ini termasuk persediaan dari segi fizikal dan
mental.
Jelasnya, persediaan ke Sukan
Olimpik Beijing adalah lebih baik daripada persiapan yang dilakukan untuk Sukan
Olimpik Athens, empat tahun lalu.
Katanya, semua cabaran telah
berjaya dilalui dan dia kini menyerahkan segalanya kepada pemain untuk
melaksanakan apa yang telah dipelajari oleh mereka sebelum ini.
Ini adalah peluang terbaik
mereka untuk membuktikan sesuatu kepada negara.
Selain itu, ia juga menjadi
landasan terbaik kepada semua atlet sukan negara untuk membuktikan bahawa sukan
bukanlah satu bidang yang tidak boleh memberi peluang pekerjaan dan rezeki
lumayan kepada sesiapa yang menceburinya, katanya yang merujuk kepada
pemberian insentif RM1 juta kepada pemenang pingat emas sukan Olimpik di
Beijing.
Selain mendapat insentif
lumayan tersebut, atlet tersebut juga layak mendapat pencen sebanyak RM5,000.00
seumur hidup daripada kerajaan.
Ditanya mengenai sasaran di
Sukan Olimpik Beijing, beliau berkata, dia tidak mempunyai sebarang sasaran dan
hanya mahu semua pemain bermain dengan baik.
Jelasnya, dengan hanya beraksi
dengan persembahan yang konsisten sahaja boleh membantu atlet mencipta kejayaan
cemerlang.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4zovT5F3u
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan