Sabtu, 25 November 2017

Kritikan tidak 'bunuh' semangat pemain - Misbun

ARKIB : 29/04/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
KUALA LUMPUR - Jurulatih badminton kebangsaan, Misbun Sidek (gambar) berkata, pemain Malaysia ibarat 'harimau luka' yang cuba bangkit daripada prestasi buruk dan memburu kejuaraan pada pusingan akhir Piala Thomas bulan depan.

Menurut Misbun, situasi yang melanda kem negara ketika ini mengingatkan beliau kepada suasana 1992, yang mana kebanyakan pemain kita turun tanpa harapan tinggi, sebaliknya berdepan kritikan kerana prestasi tidak menentu.

Bagaimanapun, kritikan itu tidak membunuh semangat mereka, sebaliknya menjadi cabaran kepada pemain untuk mengembalikan keyakinan peminat dan membuktikan bahawa mereka tidak seteruk yang sering diperkatakan.

"Ada beberapa pemain yang akan berlepas ke Jakarta dengan perasaan kurang gembira kerana prestasi mereka yang tidak baik, selalu dikritik dan ada berdepan masalah peribadi.

"Ini bukanlah satu perkembangan yang baik tetapi sekurang-kurangnya saya nampak perkara positif lain yang muncul apabila keadaan jadi begini.

"Saya lihat keazaman pemain itu hendak membersihkan imej mereka amat tinggi, mereka tahu Piala Thomas adalah gelanggang yang paling sesuai untuk cuci nama mereka, untuk kembalikan keyakinan orang ramai,'' kata Misbun selepas sesi latihan di Gimnasium II, Bukit Jalil semalam.

Menurut Misbun, pemain seperti Muhammad Hafiz Hashim dan beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong boleh menjadi pencabar paling berbahaya sepanjang kejohanan 11-18 Mei itu.

Katanya, ketiga-tiga pemain tersebut berdepan situasi hampir serupa, mengalami kemerosotan prestasi, masalah peribadi serta dikritik hebat, tetapi mula menunjukkan tanda kebangkitan pada Kejohanan Asia, dua minggu lalu.

"Saya dapat lihat kesungguhan mereka untuk bangkit, tetapi saya harap kesungguhan itu tidak hanya pada sesi latihan sebaliknya dibawa terus pada hari kejohanan. Itu paling penting.

"Hafiz mampu menjadi perseorangan ketiga paling berbahaya kalau dia mampu mencapai permainan terbaiknya, dia adalah pemain yang amat berbakat tetapi sering dihimpit masalah peribadi dan kecederaan.

Masalah kecederaan"Saya percaya, Malaysia masih mempunyai beregu yang mantap walaupun prestasi pasangan negara sering dikritik akhir-akhir ini, pemain seperti Kien Keat-Boon Heong pasti mahu menggunakan Piala Thomas untuk menebus kesilapan,'' katanya.

Menurut Misbun, Malaysia bukanlah pasukan pilihan ketika menjuarai Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1992, sebaliknya Indonesia ketika itu menjadi calon utama kejuaraan kerana memiliki barisan pemain yang hebat.

Gergasi badminton dunia itu menurunkan juara dan naib juara Olimpik 1992, Alan Budi Kusuma dan Ardy Wiranata di samping juara dunia 1993, Joko Suprianto dalam perseorangan.

Pemenang pingat emas Olimpik 1992, Eddy Hartono-Rudy Gunawan dan juara Olimpik 1996 serta juara dunia 1995, Rexy Mainaky-Ricky Subagja pula menguatkan cabaran beregu negara itu.

Bagaimanapun, keazaman yang tinggi untuk menjulang piala mendorong Rashid Sidek menumbangkan Ardy dalam perseorangan pertama, Foo Kok Keong menewaskan Alan dalam perseorangan kedua manakala Chean Soon Kit-Soo Beng Kiang mengejutkan Ricky-Rexy untuk mengutip mata kemenangan.

Kini selepas 16 tahun berlalu, rakyat Malaysia berharap kemarau panjang itu akan berakhir dan Misbun mengakui, banyak rintangan bakal menanti di Jakarta nanti, namun semuanya tidak mustahil jika pemain negara mempamerkan aksi terbaik dan keinginan tinggi.

Sementara itu, China, Korea Selatan, Denmark dan tuan rumah, Indonesia menjadi halangan terbesar Malaysia untuk memburu kejuaraan Piala Thomas selepas membariskan pasukan terbaik.

China menyenaraikan juara dunia, Lin Dan, juara Seluruh England, Chen Jin, pemain nombor empat dunia, Bao Chunlai dan Chen Yu dalam perseorangan manakala cabaran beregu diketuai Fu Haifeng- Cai Yun dan Xie Zhongbo-Guo Zhendong.

Korea pula menampilkan juara baru Asia, Park Sung Hwang, Lee Hyun Il, Shon Seung Mo dan Hong Ji Hoon bersama dua beregu handalan, Jung Jae Jing-Lee Yong Dae dan Hwang Ji Man-Lee Jae Jin.

Gergasi Eropah, Denmark membariskan Kenneth Jonassen, Peter Gade, Joachim Persson dan Jan O Jorgensen dalam perseorangan, manakala beregu diwakili Jonas Rasmussen-Lars Paaske, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dan Carsten Mogensen-Mathias Boe.

Juara Olimpik, Taufik Hidayat menerajui perseorangan Indonesia bersama naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro, Simon Santoso dan Tommy Sugiarto, sementara juara dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan mengetuai saingan beregu.

Sementara itu, penyandang juara, China membuat kejutan dengan menggugurkan juara Olimpik dan pemain nombor dua dunia, Zhang Ning daripada skuad Piala Uber.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4zRLaxnQR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan