Sabtu, 25 November 2017

Misbun sasar kejuaraan kedua selepas 29 tahun

ARKIB : 07/05/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
KUALA LUMPUR - Sepanjang tempoh 29 tahun bergelar pemain dan jurulatih badminton, Misbun Sidek hanya pernah mendakap kejuaraan Piala Thomas sekali - pada 1992 di Kuala Lumpur.

Selepas tiga dekad membawa cabaran Malaysia pada kejohanan berpasukan prestij itu, menjulang hanya satu kejuaraan nyata tidak cukup memberi kepuasan.

Malah, kejuaraan yang kali terakhir dimenangi Malaysia juga sudah terlalu lama - 16 tahun lalu, dan Misbun berharap kemarau yang panjang itu mampu diakhiri di Indonesia.

"Kalau diikutkan ini merupakan Piala Thomas ke-29 buat saya, sama ada sebagai pemain atau jurulatih dan dalam tempoh tersebut saya hanya menang sekali pada 1992.

"Untuk karier yang sudah begitu panjang, hanya menang sekali memang tidak cukup, tetapi inilah Piala Thomas. Ia bukan kejohanan yang mudah untuk dimenangi, sukar diramal dan apa saja boleh berlaku.

"Bagaimanapun secara peribadi, saya mempunyai perasaan yang cukup baik tentang peluang kita kali ini, perasaan yang sama seperti 1992. Mungkin semangat dan keazaman tinggi yang ditunjukkan pemain mewujudkan perasaan ini,'' kata Misbun.

Kali pertama Misbun berada dalam skuad Piala Thomas Malaysia adalah pada 1979 sebagai pemain simpanan, namun penampilan pertama itu meninggalkan kenangan yang pahit buatnya.

Malaysia gagal melayakkan diri ke pusingan akhir di Jakarta selepas dikejutkan dengan kekalahan 4-5 kepada India pada kelayakan zon Asia yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Pada 1992, dia bertindak sebagai jurulatih kepada adiknya, Rashid Sidek dan Foo Kok Keong, kedua-dua pemain ini telah menyumbangkan mata berharga yang membawa kepada kemenangan bersejarah Malaysia.

Dua anak didik Misbun turut menggalas tanggungjawab negara pada kejohanan kali ini, Lee Chong Wei sebagai perseorangan pertama dan Muhammad Hafiz Hashim ketiga.

Seperti 1992, dia berharap kedua-dua pemain berpengalaman ini mampu menyumbangkan mata maksimum yang diperlukan oleh pasukan negara untuk membawa pulang kejuaraan.

"Saya juga memastikan Mohd. Arif (Abdul Latif) bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa apabila diperlukan, dia pemain yang kental mentalitinya dan mampu menggalas tugas dengan baik,'' kata Misbun.

Selain membimbing Chong Wei, Hafiz dan Arif, Misbun juga mempunyai tanggungjawab besar bersama skuad Piala Uber, di mana dia adalah mentor kepada perseorangan utama negara, Wong Mew Choo.

"Permainan Mew Choo bertambah baik selepas Kejohanan Asia, kita cuma berharap dia terlepas daripada sebarang kecederaan.

"Kalau keadaan fizikalnya sangat baik, saya percaya dia boleh diharapkan untuk mengutip mata pertama Malaysia.

"Hari ini, saya tengok dia agak keletihan kerana baru pulang dari kem bina semangat di Port Dickson tetapi ia tidaklah serius,'' katanya lagi.

Skuad Piala Thomas dan Uber negara akan berlepas ke Jakarta esok, sebelum memulakan kempen dengan menentang England dan New Zealand, Ahad ini
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zRnlWvTM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan