ARKIB : 25/11/2008

CHONG Wei hanya perlu lebih relaks dalam pertemuan dengan Lin Dan bagi mengelakkan fokus pemain ini terjejas.
|
KUALA LUMPUR - Jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek mengakui, cabaran terbesarnya ketika ini adalah cuba meredakan tekanan yang dialami pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, laporNORZIE MOHD. KHASBI.
Pada ketika Chong Wei diakui belum dapat memenuhi pengharapan besar selaku pemain nombor satu dunia, kekalahan terbaru kepada bintang China, Lin Dan kelmarin dikhuatiri akan menjatuhkan lagi moral pemain itu.
Pada perlawanan akhir Terbuka China, Ahad lalu, Chong Wei memberi tentangan sengit kepada Lin Dan pada set pertama tetapi tunduk mudah di set kedua ketika tewas 18-21, 9-21.
Tegas Misbun, beliau tidak bimbang dengan keadaan fizikal Chong Wei tetapi lebih risau dengan faktor mental yang kerap menjejaskan fokus anak didiknya itu.
Justeru, Misbun menasihati naib juara Sukan Olimpik itu agar bermain dengan lebih relaks dan tenang jika mahu mencari keputusan terbaik pada Terbuka Hong Kong yang bermula hari ini.
"Tidak mudah untuk menggalas tanggungjawab nombor satu dunia, apatah lagi bila kedudukan itu diperoleh ketika anda baru mengalami kekalahan besar (final Sukan Olimpik).
"Mungkin ia lebih mudah buat pemain yang merangkul kejuaraan mendapat kedudukan itu, sekurang-kurangnya dia sudah ada gelaran dan telah membuktikan kemampuan.
"Chong Wei amat terdesak hendak menyeimbangkan kedudukan nombor satu dan gelaran. Dia mahu kejayaan dan status berjalan setara kerana padanya, tiada guna jadi nombor satu hanya pada ranking,'' kata Misbun ketika dihubungi di Shanghai, semalam.
Kata Misbun lagi, kerana terlalu memaksa diri untuk mencari kejuaraan pertama selepas tamat Olimpik, Chong Wei akhirnya memberi tekanan kepada diri sendiri, seterusnya membataskan pergerakan di atas gelanggang.
Justeru kata Misbun, adalah penting buatnya untuk sering mengingatkan pemain itu bahawa tumpuan sepatutnya diberi kepada permainan dan bukan faktor luaran lain, sambil menyeru peminat tanah air agar bersama memberi sokongan.
"Di Terbuka Hong Kong, kami ambil perlawanan satu demi satu dan jangan terlalu ghairah. Tetapi saya percaya, Chong Wei sedar sebagai antara pemain terbaik di dunia, tahapnya adalah di atas, jadi dia kena elak daripada tersingkir awal.
"Saya harap dia dapat masuk akhir. Kalau masuk final itu maknanya dia konsisten, dan yang paling penting mengekalkan ranking nombor satu hingga ke penghujung 2008,'' kata Misbun lagi.
Di Hong Kong, Chong Wei akan memulakan kempen dengan menentang pemain tidak ternama Jerman, Marc Zwiebler sebelum dijangka bertemu jaguh Thailand, Boonsak Posana.
Saingan suku akhir tidak terlalu berat tetapi jika layak ke separuh akhir, pemain nombor tiga dunia, Chen Jin, jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade dan bintang sedang meningkat China, Gong Weijie adalah lawan bakal menanti.
Cabaran perseorangan Malaysia pada kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM905,000) itu turut dipikul jaguh veteran, Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng, Sairul Amar Ayob dan Chong Wei Feng.SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz518qPf58Z
© Utusan Melayu (M) Bhd