Selasa, 25 April 2017

Saya sudah penat beri tumpuan kepada ramai pemain - Misbun

ARKIB : 21/08/2004
ATHENS - Menghadapi kejohanan besar seperti Olimpik memerlukan pemerhatian khusus jurulatih untuk seseorang pemain agar mereka mendapat pendekatan yang berbeza apabila bertanding, begitu antara lain luahan dan pandangan ketua jurulatih pasukan badminton negara, Misbun Sidek.
Bukan bertujuan mencari alasan atau punca kegagalan pasukan negara dalam saingan Olimpik di Athens, bekas pemain perseorangan negara itu berkata, beliau ``kepenatan'' kerana terpaksa memberi tumpuan kepada ramai pemain, bukan sahaja untuk Sukan Olimpik tetapi sepanjang beliau menjadi jurulatih.
``Kalau saya diberi pilihan, saya mahukan seorang jurulatih mengendalikan dua atau tiga pemain dan bukan seorang jurulatih yang terpaksa memberi tumpuan kepada semua pemain. Dengan cara itu, kita dapat mencurahkan taktik atau teknik permainan dengan strategi yang berbeza,'' kata Misbun.
``Sebenarnya saya sudah penat,'' kata Misbun sambil berkata, tugas membuat analisis terhadap seseorang pemain bukannya mudah dan menyerahkan kepada majikannya, Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukan masa depannya bersama pasukan kebangsaan.
Menurut Misbun, beliau pernah menyuarakan hasrat dan pandangan itu sejak mengambilalih tugas selaku jurulatih kebangsaan tetapi pandangannya tidak mendapat tempat.
``Lihat sahaja bagaimana Indonesia menyiapkan pasukan mereka. Taufik (Hidayat) misalnya mempunyai jurulatihnya sendiri untuk menghadapi temasya di sini. ``Kalau boleh saya mahukan seorang lagi jurulatih, Rashid (Sidek) berada di sini membantu tetapi tidak mendapat kebenaran,'' katanya sambil merujuk bahawa seorang lagi jurulatih untuk acara beregu, Cheah Soon Kit menerima nasib yang serupa.
Mengulas mengenai kegagalan pasukan negara pada temasya di sini, Misbun sebelum ini pernah berkata bahawa misinya untuk membawa pulang sekurang-kurangnya untuk membawa pulang sebutir pingat menemui kegagalan.
Ini merupakan kegagalan kedua pasukan badminton negara dalam menghadapi kejohanan besar. Sebelum ini, Malaysia gagal ketika bertanding dalam kejohanan Piala Thomas di Jakarta, Mei lalu.
Menurut Misbun, apa yang membimbangkannya, Malaysia tidak mempunyai kumpulan pemain yang ramai untuk mengisi kekosongan pemain senior yang mungkin tidak lagi beraksi selepas ini.
``Saya memerlukan pemain dalam lingkungan usia 15 tahun untuk dibentuk menjadi pemain terbaik dunia. Namun, budaya kita berbeza, kerana dalam usia itu, mereka (pemain) masih menuntut dan ibu bapa mereka lebih mahukan anak-anak mereka berjaya dalam bidang akademik.
``Saya mahukan kumpulan pemain muda, yang tidak boleh atau mampu melanjutkan pelajaran mencuba bidang baru ini,'' katanya.
Menurut beliau lagi, terlalu sukar mencari pemain berbakat di seluruh negara untuk menambah kumpulan pemain yang ada ``Sebab itu, saya hanya menemui satu Lee Chong Wei di Pulau Pinang,'' kata Misbun merujuk proses mencari bakat yang dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia.
Kegagalan pasukan badminton di sini terus menjadi kritikan kerana ramai yang menganggap bahawa ia satu pencapaian buruk berbanding ketika menyertai temasya di Sydney, empat tahun lalu. Dalam temasya itu, Malaysia juga pulang tanpa sebarang pingat menerusi acara badminton.
Namun ketika itu, pencapaian pemain seperti Wong Choon Hann dan pasangan Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah lebih baik kerana mereka masing-masing mara ke suku akhir dan separuh akhir.
Dalam temasya di Athens, pemain perseorangan negara tumbang di pusingan kedua sementara Tan Fook-Wan Wah gagal di suku akhir.
Pengurus pasukan badminton negara, Datuk Lim Teong Kiat berkata, tidak adil untuk mempersalahkan pihak pengurusan di atas kegagalan Malaysia dalam temasya ini.
``Mereka datang dengan reputasi, kedudukan ranking dan persiapan mental yang baik tetapi masih gagal.
``Para pemain telah melakukan yang terbaik. Dalam sukan, adakalanya kita memerlukan sedikit tuah,'' kata Lim dalam majlis pertemuan di antara Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Mohd. Said, dengan para atlet negara di perkampungan sukan, semalam.
Pertemuan itu turut dihadiri oleh para atlet. Turut sama, Sultan Perak, Raja Azlan Shah bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar dan ketua kontinjen negara, Datuk Dr. M. Jegathesan.
Azalina yang sudah berada di Athens sejak dua hari lalu bertemu para atlet dan jurulatih untuk mendapatkan maklum balas terhadap penyertaan mereka dalam temasya ini. - Utusan

Misbun akhirnya ke Athens

ARKIB : 11/08/2004
CAMPUR tangan Majlis Sukan Negara (MSN) akhirnya membantu jurulatih perseorangan badminton negara, Misbun Sidek berlepas ke Athens semalam selepas dia tidak dibenarkan ke luar negara ketika mahu menyertai pemain negara berangkat ke Greece Ahad lalu.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad berkata, masalah `teknikal' yang menghalang Misbun ke luar negara ketika mahu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ahad lalu dapat diselesaikan dengan segera
``Sejurus mendapat tahu masalah yang menimpa Misbun, MSN berusaha sedaya upaya membantu menyelesaikannya.
``Kini segalanya sudah diatasi dan Misbun telah pun berlepas ke Athens semalam untuk menyertai para pemain negara yang sudahpun berada di Athens sejak kelmarin.
``Ia merupakan berita gembira buat pemain negara yang sebelum ini bimbang apabila Misbun tidak dapat menyertai penerbangan mereka ke Athens Ahad lalu,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Misbun sepatutnya berlepas ke Athens dari KLIA bersama pasukan badminton negara Ahad lalu tetapi dikatakan tidak dibenarkan meninggalkan negara berikutan masalah teknikal.
Keadaan itu menyebabkan sembilan pemain badminton negara, Wong Choong Hann, Roslin Hashim, Lee Chong Wei, Choong Tan Fook, Lee Wan Wah, Chew Choon Eng, Chan Chong Ming, Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui, diiringi pengurus pasukan, Datuk Lim Teong Keat dan jurulatih beregu, Yap Kim Hock berlepas tanpa Misbun.
Tidak diketahui masalah `teknikal' yang menghalang jurulatih itu ke luar negara namun dia dikatakan berkaitan dengan masalah kewangan dengan beberapa institusi kewangan.
Mazlan turut enggan mengulas bentuk bantuan yang diberikan oleh MSN dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh jurulatih perseorangan negara itu.
Sementara itu, insiden tersebut agak mengejutkan kerana Misbun baru sahaja pulang dari Athens bulan lalu untuk meninjau veneu pertandingan.
Misbun sendiri dikatakan terkejut dengan larangan meninggalkan negara kerana larangan itu tidak dimaklumkan kepadanya oleh mana-mana pihak.

Ahad, 23 April 2017

Kesilapan sendiri - Misbun

ARKIB : 01/07/2004
KESILAPAN sendiri yang dilakukan oleh Wong Choong Hann membawa padah apabila dia akhirnya tunduk kepada pemain Denmark, Peter Rasmussen pada pusingan awal Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang berlangsung di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, semalam.
Malah kekalahan itu turut menyerlahkan kelemahan pemain perseorangan utama negara itu yang masih gagal mengatasi tekanan setiap kali berhadapan dengan lawan yang memiliki kekuatan seimbang dengannya.
Jurulatih negara, Misbun Sidek ketika ditemui berkata, anak didiknya itu telah melakukan beberapa kesilapan yang tidak seharusnya dilakukan dan tidak menggunakan kesempatan yang terbuka untuk mengutip mata daripada lawannya.
``Saya lihat Choong Hann tak serang Peter sewaktu dia ada peluang dan saya perhatikan dia lebih banyak bertahan berbanding menyerang lawan,'' katanya.
Misbun menambah, sikap suka bertahan itu akhirnya memakan diri apabila Rasmussen menggunakan peluang tersebut untuk menyerang Choong Hann.
Beliau mengakui Choong Hann ada memberi tentangan kepada lawannya tetapi ia tidak cukup untuk meletakkan pemain nombor tiga dunia itu di kedudukan yang selesa.
``Lawan tak rugi apa-apa kalau dia tak menyerang tetapi Peter mengambil kesempatan ke atas Choong Hann yang semakin tertekan dan tidak dapat bermain dengan baik,'' ujarnya.
Misbun menjelaskan, kekurangan yang masih ada pada Choong Hann perlu diperbaiki segera sebelum Kejohanan Olimpik bulan depan.
Katanya, persiapan ke Olimpik baru sahaja memasuki fasa yang lebih spesifik dan Kejohanan Terbuka Malaysia digunakan untuk melihat sejauh mana prestasi pemain kebangsaan setakat ini.

Jumaat, 21 April 2017

Misbun berhati-hati atur strategi suku akhir

ARKIB : 08/05/2004
Nada Misbun nyata berbeza selepas melihat aksi dan perkembangan terbaru pada kejohanan yang bermula semalam. Antara lain, Misbun kini sedang membuat percaturan yang dianggap sebagai `strategi' mengelak pertemuan China atau Indonesia pada babak suku akhir nanti.
Jika sebelum ini, Misbun lebih rela pasukannya berjuang berhabis-habisan dengan menjuarai Kumpulan C yang dianggotai oleh Malaysia, Thailand dan Afrika Selatan, bekas pemain perseorangan negara itu kini sedang melakukan satu percaturan yang dianggap `sukar'.
Berdasarkan undian, Malaysia menghadapi kesukaran mengelak pertemuan menentang naib juara kumpulan A yang disertai oleh penyandang juara dan tuan rumah, Indonesia, China dan Amerika Syarikat.
Cara terbaik mungkin melakukan helah untuk muncul naib juara kumpulan C yang memberikan peluang kepada Malaysia untuk mara lebih jauh dan ia bermakna tewas kepada Thailand.
Atas kertas tentunya, Malaysia awal-awal lagi dianggap sebagai pasukan yang selayaknya bergelar juara kumpulan tetapi untuk menang atau mara lebih jauh, pasukan negara hanya ada satu pilihan.
Dengan muncul naib juara kumpulan C, bermakna Malaysia akan bertemu Korea Selatan pada suku akhir, yang dilihat memberikan peluang yang lebih baik berbanding pertemuan menentang sama ada China atau Indonesia.
``Kita menyedari bahawa halangan besar datang lebih awal. Apakah kita masih mahu mengharunginya. Bagi saya, yang penting ialah menggunakan peluang yang ada,'' kata Misbun.
``Inilah yang menyukarkan. Tentu saya sukar untuk melelapkan mata. Kita ibarat berhadapan dengan seekor naga pada suku akhir nanti,'' kata Misbun, ketika membayangkan pertemuan menentang sama ada China atau Indonesia seawal peringkat suku akhir.
Khabar terbaru yang melanda pasukan Korea Selatan berikutan kecederaan pasangan beregu utamanya, Ha Tae Kwon yang terpaksa menarik diri membuatkan Misbun dan Kim Hock mula memikirkan sesuatu. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4esILELBS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 18 April 2017

Misbun akui kegagalan pemain

ARKIB : 25/04/2004
KETUA jurulatih negara, Misbun Sidek mengakui ketiadaan pemain perseorangan di peringkat separuh akhir Kejohanan Konfederasi Badminton Asia (ABC) yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur merupakan satu kegagalan.
Beliau berkata, sememangnya ada harapan yang tinggi untuk menyaksikan beberapa pemain negara mara ke peringkat separuh akhir kejohanan terakhir kelayakan ke Sukan Olimpik itu.
``Untuk kejohanan ini memang kita gagal kerana tidak ada pemain (perseorangan) yang berjaya mara ke separuh akhir. Ini merupakan sasaran kami dan juga masyarakat,'' katanya yang ditemui selepas tamat peringkat suku akhir kejohanan itu kelmarin.
Di peringkat suku akhir kejohanan empat bintang itu hanya Muhd. Hafiz Hashim dan Wong Mew Choo beraksi namun kedua-dua pemain itu tumpas kepada lawan masing-masing, kelmarin.
Hafiz yang begitu bersemangat ketika menumpaskan pilihan pertama pertandingan, Lee Hyun Il dari Korea di pusingan ketiga kelihatan lesu dan tidak lancar pergerakannya pada perlawanan bertemu juara bertahan, Sony Dwi Kuncoro di suku akhir kelmarin.
Pemain yang masih gagal merangkul sebarang kejuaraan sejak memenangi kejohanan Seluruh England tahun lepas tumpas 14-17, 7-15 kepada pemain muda Indonesia itu.
Selain daripada Sony, Indonesia turut mempunyai seorang lagi pemain perseorangan iaitu Taufik Hidayat di peringkat separuh akhir.
Indonesia yang akan menjadi tuan rumah kejohanan Piala Thomas-Uber awal bulan depan turut mempunyai dua pasangan beregu lelaki di separuh akhir.
Malaysia pula hanya berharap kejayaan beregu kedua negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng yang mara atas tiket nasib kerana penarikan diri pasangan Korea, Lee Dong Soo-Yoo Young Sung akibat kecederaan.
Kemenangan percuma tersebut juga membantu membuka peluang kepada pasangan yang baru digandingkan semula itu untuk mendapat tempat ke Sukan Olimpik di Athens, Ogos ini.

Misbun rangka program telus

ARKIB : 20/04/2004
KETUA jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek akan merangka satu program khas untuk menyediakan pemain bagi menghadapi suasana tegang Stadium Istora Senayan, Jakarta - gelanggang pusingan akhir badminton Piala Thomas/Uber, 7-16 Mei ini.
Misbun berkata, beliau tidak berminat untuk mengadakan perlawanan simulasi - program persediaan yang biasanya digunakan skuad negara menjelang sesuatu kejohanan berpasukan.
Sebaliknya satu program khas, yang menuntut pemain untuk lebih menumpukan kepada permainan dan lawan mereka tanpa memikirkan keadaan sekeliling akan dimulakan sebaik tamat Kejohanan Badminton Asia (ABC) di Kuala Lumpur, 26 April ini.
``Saya akan tambahkan sedikit latihan hingga pemain tidak ada masa untuk fikir tentang penonton,'' kata Misbun selepas latihan di Stadium KLBA, Cheras semalam.
``Kita tidak memerlukan perlawanan simulasi, cukup satu formula tersendiri yang menarik perhatian pemain daripada dibayangi oleh suasana hiruk, tegang dan gamat di Istora Senayan.''
Menurut Misbun, pengalaman rakan-rakan senior yang bermain dalam keadaan amat tegang dan panas ketika tewas 3-0 kepada Indonesia pada perlawanan akhir Piala Thomas 1994 pasti masih menghantui pemain negara ketika ini.
Katanya, jika sesuatu tidak dilakukan mereka akan terus bermain dengan perasaan sendiri dan diburu rasa takut setiap kali memasuki gelanggang.
Pada Piala Thomas 1994, Malaysia terpaksa melepaskan gelaran yang dimenangi dua tahun sebelumnya dalam perlawanan yang tidak terkawal dengan penyokong tuan rumah bukan saja membanjiri tempat duduk penonton malah bersesak-sesak di tepi gelanggang.
Pasukan negara ketika itu dibarisi pemain berpengalaman seperti Rashid Sidek, Ong Ewe Hock dan beregu handalan, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang.
Cabaran Malaysia kali ini pula akan dipikul naib juara dunia, Wong Choong Hann, Mohd. Roslin Hashim, Lee Chong Wei, Muhd. Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan Koo Kien Keat.
Sementara itu Misbun berkata, beliau yakin dua pemainnya, Chong Wei dan Roslin akan memanfaatkan sepenuhnya peluang terakhir untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Athens pada Kejohanan ABC, bermula hari ini.
Katanya lagi, jika juara kebangsaan, Chong Wei terpaksa berdepan jaguh Indonesia, Taufik Hidayat pada suku akhir, perlawanan lebih berpihak kepada Chong Wei.
``Kedua-dua pemain tidak pernah berjumpa tetapi saya rasa permainan Chong Wei ada kelebihan jika dia berjaya mengatasi tekanan ke atas diri sendiri.''

Sabtu, 15 April 2017

Jangan terlalu fikirkan mata - Misbun

ARKIB : 12/03/2004
BIRMINGHAM (England) - Ketua jurulatih negara Misbun Sidek mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu memikirkan mengenai pungutan mata kelayakan ke Olimpik sehingga gagal memberi tumpuan kepada pertandingan yang sedang disertai.
Beliau berkata berdasarkan suasana di dua pertandingan, Terbuka Switzerland yang berakhir minggu lepas dan Kejohanan Seluruh England yang sedang berlangsung di sini, pemain-pemain Malaysia gagal memberi tumpuan kerana terlalu memikirkan pungutan mata untuk layak ke Olimpik di Athens pada Ogos ini.
``Sepatutnya mereka memberi tumpuan kepada pertandingan yang sedang berlangsung dan bukan kejohanan yang akan datang. Jika mereka mencatat kemenangan, secara automatik pungutan mata mereka juga bertambah.
``Tetapi jika mereka gagal mencatat kemenangan pada kejohanan yang sedang disertai, sudah pasti pungutan mata mereka juga tidak bertambah. Malangnya ramai pemain tidak sedar hal ini,'' katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata Kuan Beng Hong, Lee Tsuen Seng dan Mohd Roslin Hashim adalah antara pemain negara yang agak goyah permainan mereka akibat terlalu berhati-hati untuk mencatat kemenangan demi mengejar mata ke Athens.
``Akibat terlalu berhati-hati, mereka akhirnya tumpas di pusingan kedua kecuali Roslin. Saya mengarahkan mereka yang masih tinggal untuk meneruskan perjuangan di pusingan berikut agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan (Seluruh England) ini. Merit ke Athens akan bertambah jika mereka cemerlang ke pusingan akhir,'' kata Misbun.
Misbun berkata masalah itu bukan sahaja membelenggu pemain-pemain Malaysia tetapi juga pemain negara lain.
Beliau berkata daripada perbualannya dengan jurulatih-jurulatih dari gergasi badminton Asia seperti China, Indonesia dan Korea Selatan, mereka juga turut menghadapi masalah yang sama.
``Cuba lihat persembahan Wong Choong Hann sewaktu tumpas kepada Muhammad Hafiz Hashim pada pusingan kedua semalam (Rabu). Permainannya goyah dan tidak menjadi. Choong Hann mengaku gagal memberi tumpuan kerana lebih memikirkan mata. - Bernama

Selasa, 11 April 2017

Simulasi bukan minat Misbun



ARKIB : 04/02/2004

KETUA jurulatih badminton negara, Misbun Sidek tidak berminat mengadakan pertandingan simulasi sebaliknya menumpukan kepada latihan berbentuk tekanan kepada pemainnya menjelang pusingan kelayakan kelayakan Piala Thomas-Uber di Kuala Lumpur 18 hingga 22 Februari ini, lapor SRY ANGRENI MOHD ZET.

Misbun berkata, masalah utama pemainnya hanyalah di bahagian finishing yang menjadi penentu kemenangan atau kekalahan mereka.

``Mereka mampu mendahului lawan di peringkat awal tetapi kadang-kadang gagal menamatkan perlawanan walaupun telah mendahului pada satu ketika. Ini yang perlu diatasi,'' katanya yang ditemui selepas latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Menyedari perkara itu, Misbun kini menggunakan latihan berbentuk tekanan kepada pemainnya agar menimbulkan rasa takut untuk kalah.

``Contohnya, Wong Choong Hann ketika bertemu seorang pemain lain. Saya berikan lawan Choong Hann mendahului lapan mata.

``Di sini kedua-dua pemain terpaksa bertarung sengit kerana Choong Hann misalnya pasti tidak mahu kalah walaupun bermula dengan ketinggalan lapan mata di belakang.

``Begitu juga lawannya, pasti tidak mahu kalah kerana telah diberi kelebihan (handicap) lapan mata,'' ujarnya.

Misbun berkata, beliau percaya cara itu akan menjadikan pemain bekerja dan berfikir lebih kuat bagi memastikan kemenangan.

``Saya telah lama menggunakan sistem ini ke atas pemain seperti Roslin dan Hafiz (Hashim) dan saya yakin cara terbaik untuk membentuk corak permainan tektikal di kalangan pemain,'' jelasnya.

Menurut Misbun, para pemainnya sudah mempunyai kekuatan fizikal dan daya pemulihan yang mencukupi untuk berdepan lawan. Hanya apa yang perlu digilap hanyalah kemampuan menamatkan perlawanan dengan baik,'' ujarnya.

Mengulas mengenai prestasi skuad Piala Uber yang kebanyakannya barisan muda, Misbun berkata, dengan kekuatan barisan pemain perseorangan yang ada, peluang untuk Malaysia melayakkan diri secara merit ke pusingan akhir masih terbuka.

``Kita kini mempunyai pilihan barisan pemain perseorangan dan saya yakin beregu juga berupaya mencuri satu pada pada perlawanan nanti,'' katanya.

Mengenai sistem pertandingan pusingan akhir yang bakal diperkenalkan Persekutuan Badminton Antarabangsa pada pertandingan di Jakarta nanti, Misbun berkata, setiap pemain harus menerima sistem ini dan berusaha mengatasi tekanan baru yang bakal dihadapi.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dvaUIVbC
© Utusan Melayu (M) Bhds

Isnin, 3 April 2017

Tugas saya belum selesai - Misbun



ARKIB : 05/08/2003

BIRMINGHAM, England - Ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek menegaskan tugasnya masih banyak yang belum selesai sekalipun dia sudah boleh dianggap antara jurulatih paling berjaya setakat ini Ñ melahirkan juara Seluruh England dan naib juara dunia.

Menurut Misbun, kejayaan sebenar baginya adalah apabila pemain-pemainnya berjaya muncul juara dunia, merangkul pingat emas Sukan Olimpik dan membantu Malaysia menjuarai Piala Thomas.

Walaupun tidak menafikan gembira dengan pencapaiannya setakat ini, termasuk pernah membantu Mohd. Roslin Hashim muncul pemain nombor satu dunia pada 2001, masih banyak kerja yang perlu dilakukan jurulatih itu terutama menyediakan barisan terbaik bagi menghadapi Sukan Olimpik dan Piala Thomas tahun depan.

``Sebagai jurulatih saya sebenarnya belum berjaya sepenuhnya, tetapi pencapaian saya agak baik dan menggembirakan setakat ini,'' kata Misbun, yang mengambil alih jawatan ketua jurulatih perseorangan daripada jurulatih veteran Indonesia, Indra Gunawan pada Disember tahun lalu.

``Banyak perkara yang ingin saya capai ketika menjadi pemain tidak tercapai kerana itu saya begitu bersemangat untuk membantu pemain-pemain saya melakukan apa yang saya gagal lakukan. Hafiz sudah muncul juara Seluruh England tetapi saya tidak mahu hanya ada seorang Hafiz.

``Choong Hann sudah muncul naib juara dunia, tetapi saya rasa dia boleh menjadi juara pada masa akan datang jika teruskan beraksi baik dan saya akan membantunya.

``Lee Tsuen Seng, Roslin, Lee Chong Wei dan Yeoh Kay Bin adalah pemain-pemain yang boleh meraih gelaran besar, tetapi harus dipermantapkan.

``Jadi sebenarnya banyak lagi kerja yang perlu saya lakukan untuk melaksanakan semua harapan saya ini, yang saya fikir juga sebagai harapan seluruh rakyat Malaysia.''

Pencapaian terbaik Misbun sebagai pemain adalah muncul naib juara Seluruh England namun sebagai jurulatih dia telah membantu Hafiz menjuarai gelaran itu selepas 37 tahun menanti. Dia juga gagal melayakkan diri ke suku akhir ketika beraksi pada Kejohanan Dunia, tetapi membantu Roslin melakukannya dan Choong Hann pula muncul naib juara.

Walaupun tidak berada dalam pasukan kebangsaan ketika Malaysia muncul naib juara Piala Thomas di China tahun lalu, Misbun merupakan jurulatih yang bertanggungjawab menyediakan dua tonggak utama negara pada kejohanan itu - Hafiz dan Roslin.

Hafiz telah memenangi perlawanan penting, mengalahkan Bao Chunlai 1-7, 7-4, 8-7, 1-7, 7-5 untuk memastikan kemaraan Malaysia ke suku akhir pada kejohanan itu. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dBqDeuqO
© Utusan Melayu (M) Bhd