ARKIB : 31/05/2003
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
PEMAIN kebangsaan diingatkan agar
tidak mengambil mudah Kejohanan Badminton Cabaran Elit yang akan bermula di
Stadium Juara, Bukit Kiara Isnin ini kerana ia bakal digunakan sebagai medan
penilaian bagi tempoh lima bulan pertama 2003.
Ketua jurulatih perseorangan
kebangsaan, Misbun Sidek berkata, meskipun tiada sebarang tindakan akan diambil
daripada kejohanan itu, namun amaran bakal dikeluarkan kepada mereka yang gagal
mempamer prestasi memuaskan.
Katanya lagi, peringatan tersebut
juga boleh mendorong kepada pengguguran pemain terbabit daripada skuad
kebangsaan jika mereka terus gagal menyerlah dalam tempoh penilaian kedua, dari
Jun hingga ke akhir tahun ini.
``Saya mengambil serius kejohanan
ini kerana ia akan menilai sejauh mana prestasi pemain dan penerimaan mereka
sepanjang lima bulan pertama tahun ini,'' kata Misbun ketika ditemui selepas
sesi latihan di Bukit Kiara, semalam.
``Adalah tidak adil untuk
menyingkirkan mereka hanya berdasarkan keputusan kejohanan ini. Namun, satu
amaran tegas akan dikeluarkan jika mereka tidak memberikan persembahan seperti
yang diharapkan.''
Menurut Misbun, tempoh penilaian
kedua, selepas peringatan pertama diberi adalah waktu paling getir kerana
pemain tersebut akan disingkir jika masih tidak memuaskan.
Justeru Misbun mengingatkan
anak-anak buahnya agar melakukan persediaan terbaik menjelang Cabaran Elit 2003
atau bakal diberikan amaran keras.
Seramai 10 pemain kebangsaan akan
berentap dalam perseorangan lelaki diketuai pemain nombor satu negara, Wong
Choong Hann, juara Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng, Mohd.
Roslin Hashim, Lee Chong Wei, Kuan Beng Hong, K. Yogendran, Mohd. Hazwan dan
Tan Zhao Rong.
Juara Terbuka Malaysia, James
Chua menarik diri kerana belum pulih daripada kecederaan. Turut terlepas
saingan Cabaran Elit adalah perseorangan wanita, Ng Mei Fen yang juga
menghadapi masalah kecederaan.
Pasangan Chan Chong Ming-Chew
Choon Eng akan mengetuai cabaran beregu lelaki bersama pasangan bermasalah,
Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.
Tujuh lagi beregu yang akan
bersaing adalah Ong Soon Chiang-Lok Chong Hong, Mohd. Razif-Chin Shi Weng,
Chang Kim Wai-Hong Chieng Hun, Koo Kien Keat-Gan Tiek Chai, Lin Woon Fui-M.
Fairuzizuan, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, M. Zakry-Jack Koh.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cxUpY7eI©
Utusan Melayu (M) Bhd